TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hamidin dilantik Presiden Kehormat FAM

By
|
Kongsi
image

SUBANG JAYA 30 Jun - Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM susulan keputusan Kongres Luar Biasa Pertama FAM 2025 yang berlangsung di sini hari ini.

FAM dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan itu dibuat berdasarkan kredibiliti, pengalaman dan sumbangan besar Hamidin terhadap pembangunan bola sepak negara dan antarabangsa selama lebih tiga dekad.

“Artikel 22 Statut FAM memperuntukkan bahawa Kongres boleh menganugerahkan gelaran Presiden Kehormat FAM atau Ahli Kehormat FAM kepada individu yang memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan bola sepak.

“Bagi gelaran Presiden Kehormat FAM, individu berkenaan mestilah pernah memegang jawatan Presiden FAM. Bagi gelaran Ahli Kehormat pula, individu berkenaan mestilah pernah menganggotai Jawatankuasa Eksekutif FAM,” menurut kenyataan itu.

FAM menjelaskan bahawa individu yang menerima gelaran Presiden Kehormat layak menghadiri Kongres FAM dan menyertai sesi perbahasan, namun tidak mempunyai hak untuk mengundi.

Sebagai rekod, gelaran Presiden Kehormat FAM sebelum ini hanya pernah dianugerahkan kepada Al-Marhum Sultan Ahmad Shah yang menerajui FAM selama 30 tahun dari 1984 hingga 2014.

Pelantikan Hamidin menjadikan beliau individu kedua dalam sejarah FAM yang menerima pengiktirafan tersebut, selepas memimpin badan induk itu dari 2018 hingga 2024. - Media Telus.

+ - reset