TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua lelaki ditahan acu pistol tiruan selepas kemalangan

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Julai – Dua lelaki ditahan polis selepas salah seorang daripada mereka didakwa mengacukan sepucuk pistol tiruan ke arah seorang pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Desa, Taman Desa di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam semalam apabila mangsa berusia 28 tahun mendakwa kereta Honda City dipandunya telah dilanggar sebuah lagi kenderaan.

“Selepas pelanggaran itu, berlaku pertengkaran antara mereka. Ketika itulah, pemandu Toyota Yaris terbabit secara tiba-tiba mengeluarkan sepucuk pistol berwarna hitam dan mengacukannya ke arah pengadu,” katanya dalam kenyataan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis jam 12.55 pagi dan hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 19 dan 27 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati pistol yang digunakan adalah tiruan dan dibeli melalui aplikasi TikTok oleh salah seorang suspek,” jelas Ku Mashariman.

Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari sehingga 5 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa melaporkan sebarang bentuk jenayah atau pelanggaran undang-undang kepada pihak berkuasa.

+ - reset