Berita Jenayah
Lelaki mengaku salah rogol, liwat pelancong wanita Australia di tanah perkuburan di Pulau Pinang

GEORGE TOWN 4 Julai - Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat terhadap dua pertuduhan merogol dan meliwat seorang pelancong wanita warga Australia.
Tertuduh, S Prasanth, 25, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Juraidah Abbas selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang wanita warga Australia dan pada masa telah meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan dengan mengacukan sebilah gunting besi kepadanya.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2)(b) Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan sebat.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh dengan sengaja telah melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii iaitu meliwat mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun, serta boleh dikenakan sebatan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah kereta Perodua Axia di kawasan Perkuburan Cina Hong Seng, Estate Mount Erskine, antara jam 5.20 hingga 6 pagi pada 28 Jun lalu.
Kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Jun Keong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh.
Dalam penghakimannya, Mohd Nordin memohon agar mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh berikutan jenayah yang dilakukannya serius.
"Saya memohon agar mahkamah tidak memberi jaminan terhadap tertuduh selepas pengakuan bersalahnya. Ini kerana, kesalahan yang dilakukan tertuduh serius dan melibatkan pelancong asing.
"Selain itu, tertuduh juga telah menggunakan kekerasan menggunakan gunting untuk menakutkan mangsa dan persoalannya, apakah fungsi sebilah gunting diletakkan di dalam kereta tersebut?
"Selain merogol mangsa, tertuduh juga telah meliwat mangsa yang mana perbuatan itu tidak boleh diterima sama sekali," katanya.
Mohd Nordin bagaimanapun berkata, sekiranya mahkamah masih ingin memberi jaminan kepada tertuduh, ia perlu ditetapkan dalam jumlah yang besar.
"Sekiranya mahkamah tidak bersetuju dengan tawaran pihak pendakwaan, maka saya mohon jaminan ditetapkan RM100,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.
"Selain itu, saya memohon tiga syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai terdekat setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan," ujarnya.
Dalam rayuannya, tertuduh memohon mahkamah memberi jaminan kepadanya berikutan dia mempunyai tanggungan keluarga selain tiada pekerjaan tetap.
"Saya kerja tidak tetap. Perlu menyara ibu yang berusia 66 tahun dan bapa pula tidak bekerja.
"Jadi saya mohon jaminan diberikan kepada saya," katanya.
Juraidah kemudiannya menetapkan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Kes ditangguh sehingga 31 Julai untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.
Berita berkaitan
July 5, 2025, 3:21 pm
Penceramah bebas ditahan, disyaki bebas video seks bersama isteri-isteri dan wanita lain
July 4, 2025, 12:33 pm
GMRB guna Malaysia kumpul dana, rekrut ahli sokong pengganas luar
July 4, 2025, 12:08 pm
Polis tahan 5 lelaki curi penapis air masjid, jual 'online'
July 3, 2025, 7:17 am
Dua lelaki ditahan acu pistol tiruan selepas kemalangan
July 2, 2025, 11:07 am
Polis kesan suspek bakar lima kenderaan mewah di Bandar Tropicana Aman
July 1, 2025, 9:29 pm
Lelaki ditembak ketika tunggu anak depan sekolah di Butterworth
July 1, 2025, 5:46 pm