Berita Jenayah
Penceramah bebas ditahan, disyaki bebas video seks bersama isteri-isteri dan wanita lain

SHAH ALAM 5 Julai – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang lelaki yang juga penceramah bebas berhubung penyebaran beberapa video seks membabitkan isterinya dan beberapa wanita lain.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan dijalankan susulan laporan yang dibuat oleh seorang wanita yang merupakan isteri kedua kepada penceramah berkenaan.
Menurut beliau, laporan polis dibuat pada 16 Jun lalu pada jam 12.00 tengah hari, mendakwa video seks dirinya, madu-madunya serta beberapa wanita lain telah disebarkan oleh suaminya sendiri.
“Bertindak atas laporan itu, polis telah menahan lelaki terbabit dan merampas dua unit telefon bimbit serta sebuah komputer riba milik suspek bagi tujuan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hasil semakan ke atas telefon bimbit suspek mendapati terdapat beberapa video seks melibatkan suspek bersama isteri-isterinya, selain beberapa gambar yang mengaibkan wanita lain.
Suspek telah direman selama empat hari sehingga hari ini dan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Jika disabit kesalahan, Seksyen 509 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 233 pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang diteruskan selepas pensabitan, denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari boleh dikenakan. Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil pula membawa hukuman denda maksimum RM100.
Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut berhubung kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mira Noraien Norashid di talian 011-1143 0765. – Media Telus.
Berita berkaitan
July 4, 2025, 12:33 pm
GMRB guna Malaysia kumpul dana, rekrut ahli sokong pengganas luar
July 4, 2025, 12:08 pm
Polis tahan 5 lelaki curi penapis air masjid, jual 'online'
July 3, 2025, 7:17 am
Dua lelaki ditahan acu pistol tiruan selepas kemalangan
July 2, 2025, 11:07 am
Polis kesan suspek bakar lima kenderaan mewah di Bandar Tropicana Aman
July 1, 2025, 9:29 pm
Lelaki ditembak ketika tunggu anak depan sekolah di Butterworth
July 1, 2025, 5:46 pm