TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Ibu hamil dipenjara 41 bulan, suami 17 bulan kes rompak, curi barang 'homestay', JKM ambil 4 anak masih kecil

By
|
Kongsi
image

 

MELAKA 4 Julai – Seorang wanita hamil lima bulan yang juga ibu kepada empat anak dijatuhi hukuman penjara selama 41 bulan, manakala suaminya pula dihukum penjara 17 bulan selepas kedua-duanya mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencuri dan melupuskan harta curi termasuk barangan inap desa, April lalu.

Tertuduh, Jasila Jamaruddin, 31, dan Muhammad Aliff Aiman Zaini, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Mengikut pertuduhan di Mahkamah Sesyen yang dikendalikan di hadapan Hakim Haderiah Siri, Jasila didakwa melakukan rompakan dengan cara merampas seutas rantai tangan bernilai RM12,000 daripada seorang wanita berusia 42 tahun, kira-kira jam 11 pagi di hadapan sebuah kafe di Bandar Baru Sungai Udang, pada 28 Mei 2025.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan, namun Jasila yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan atas alasan sedang hamil anak kelima dan mempunyai empat anak lain di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah pihak pendakwaan, Haderiah memerintahkan Jasila menjalani hukuman penjara selama tiga tahun bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 10 Jun 2025.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, Muhammad Aliff pula mengaku bersalah menerima dan melupuskan harta curi iaitu seutas rantai tangan emas di sebuah kedai pajak gadai dalam daerah Hulu Langat, Selangor sekitar jam 4 petang pada hari sama, 28 Mei 2025.

Dia dijatuhi hukuman penjara setahun mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan.

Pasangan berkenaan turut menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Majistret di hadapan Majistret Uthman Abd. Ghani atas kesalahan mencuri pelbagai barangan di sebuah inap desa termasuk selimut, seterika, cerek dan bantal bernilai RM1,100.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 1 pagi pada 26 April 2025 di sebuah unit kediaman di Atlantis Residence Tower, Kota Laksamana, Melaka Tengah.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua mereka mengaku bersalah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima bulan bermula 4 Jun lalu.

 

+ - reset