TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Politik

Anggota parti perlu bertanggungjawab, elak cetus persepsi negatif – Ketua AMK

By
|
Kongsi
image

IPOH 14 Julai – Kenyataan terbuka yang dibuat oleh segelintir anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu disuarakan dengan penuh tanggungjawab agar tidak menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan parti, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau menegaskan, PKR sebagai parti yang demokratik mempunyai saluran jelas untuk menyuarakan pandangan dan aduan dalaman.

“Jika ada kebimbangan atau kegusaran, ia seharusnya ditangani secara berhemah mengikut prosedur sedia ada.

“Kita perlu elak cetus kekeliruan atau salah tanggap dalam kalangan rakyat,” katanya ketika ditemui sempena Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI 2025 di Masjid Jamek Al-Amin, Kampung Lata, Tambun, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan agar sembilan Ahli Parlimen PKR digantung keahlian berikutan tindakan mereka mengadakan sidang media bagi mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pelantikan kehakiman.

Menurut Kamil, dakwaan wujudnya campur tangan atau pelanggaran undang-undang dalam pelantikan Ketua Hakim Negara adalah tidak berasas dan tidak disokong dengan bukti yang kukuh.

“Kita sekarang ini tiada kemelut, yang ada hanyalah orang-orang yang kalut.

“Berkaitan desakan itu, kita serah kepada kepimpinan parti. Setiausaha Agung juga telah mengeluarkan kenyataan rasmi,” ujarnya.

Sebelum ini, tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR, termasuk bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang mendesak penubuhan RCI dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC), telah mencetuskan reaksi daripada 19 ketua cabang PKR Johor yang menggesa agar mereka digantung keahlian.

Perkukuh perpaduan melalui penganjuran karnival Islamik

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan berkata, penganjuran Karnival Kesenian Islam dan Malam Mahabbah MADANI mendapat sokongan penuh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Lebih 10,000 orang hadir. Insya-Allah, kita bercadang untuk perluaskan penganjuran seperti ini ke kawasan lain pula.

“Ketika kita berdepan suasana politik hangat, kadangkala kita terlupa bahawa kekuatan utama negara ialah perpaduan. Inilah yang harus sentiasa kita peringatkan kepada masyarakat,” katanya.

Antara acara yang berlangsung sepanjang karnival tersebut termasuk program ‘Geng Subuh Macam Jumaat’, Tambun Fun Run sejauh lima kilometer, demonstrasi khat, penyalinan dan percetakan al-Quran, kenduri rakyat serta persembahan nasyid oleh kumpulan ternama seperti UNIC, Raihan dan Mirwana.

Turut diadakan ialah konvoi motosikal belia, Jualan Rahmah, pemeriksaan kesihatan percuma, pameran agensi kerajaan serta perkhidmatan seperti penukaran minyak hitam dan gunting rambut percuma.

Pada sebelah malam, pentas dihangatkan dengan pertandingan nasyid antara sekolah dan Forum Hijrah menampilkan pasangan selebriti PU Riz dan Neelofa, dikendalikan moderator Ustaz Hariri Daud. - Media Telus

+ - reset