TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Dunia

Ribuan penduduk India, Pakistan dipindahkan, 180 terkorban akibat banjir monsun

By
|
Kongsi
image

 

ISLAMABAD 18 Julai - Pasukan penyelamat dan tentera Pakistan kini giat memindahkan ribuan penduduk yang terjejas banjir selepas hujan lebat berjam-jam menenggelamkan beberapa bandar utama di negara itu, mengakibatkan lebih 50 kematian dalam tempoh 24 jam.

Menurut laporan agensi berita Jerman (dpa) yang memetik kenyataan pihak berkuasa, jumlah kematian sejak akhir Jun kini meningkat kepada 180 orang, kebanyakannya akibat runtuhan bumbung dan tembok rumah usang yang tidak dapat menampung hujan monsun berterusan.

Sekurang-kurangnya 15,000 anggota penyelamat, dengan sokongan helikopter tentera dan 800 bot, dikerahkan menyelamatkan mangsa banjir di wilayah tengah Punjab, menurut jurucakap Jabatan Penyelamat, Farooq Ahmad.

Antara kawasan paling terjejas ialah Rawalpindi, berhampiran ibu negara Islamabad, apabila air sungai melimpah ke kawasan perumahan. Operasi menyelamat melibatkan penggunaan helikopter untuk membawa keluar penduduk yang terperangkap di atas bumbung rumah.

Beberapa penduduk turut dilihat menangkap ikan di kawasan yang tenggelam air banjir di perkampungan Ladian, Rawalpindi, menurut foto-foto agensi berita antarabangsa.

Jabatan Meteorologi Pakistan memberi amaran lebih banyak hujan lebat dijangka pada Julai dan Ogos, yang berpotensi menyebabkan banjir kilat serta limpahan sungai di kawasan rendah.

Pakistan, yang mempunyai lebih 240 juta penduduk, dikenal pasti sebagai antara negara paling terdedah kepada perubahan iklim, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Setiap tahun, negara itu mencatat ratusan kematian akibat bencana alam yang berkait dengan iklim.

Pada tahun 2022, banjir luar biasa mengorbankan lebih 2,000 nyawa, menenggelamkan sepertiga daripada wilayah Pakistan dan menyebabkan kerugian ekonomi lebih AS$40 bilion (RM170 bilion).

Sementara itu, di India, sekurang-kurangnya 109 orang maut dan 35 lagi hilang akibat hujan monsun yang melanda negeri Himachal Pradesh sejak 20 Jun hingga 16 Julai, lapor agensi berita Xinhua.

Pihak berkuasa India mengesahkan berlakunya kerosakan besar terhadap rumah, kandang haiwan, jalan raya, bangunan kerajaan, bekalan air dan elektrik, selain penduduk yang kini berdepan gangguan bekalan keperluan asas.

Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari dan menyelamat, sementara ribuan penduduk terpaksa bertahan tanpa bekalan elektrik dan air bersih.

+ - reset