Berita Dunia
9 terbunuh termasuk kanak-kanak dalam serangan artileri di sempadan Thailand-Kemboja
BANGKOK, 24 Julai - Tentera Diraja Thailand (RTA) hari ini mengesahkan bahawa seramai sembilan orang awam, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun, terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam siri serangan artileri yang didakwa dilakukan oleh tentera Kemboja di sepanjang sempadan dua negara itu.
Timbalan Jurucakap RTA, Kolonel Richa Suksuvanond, seperti dipetik portal Nation Thailand, berkata beberapa kampung dan harta benda persendirian menjadi sasaran selepas tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah tentera Thailand berhampiran kawasan Prasat Ta Muen Thom pada pagi Khamis.
Menurut kenyataan rasmi yang dimuat naik ke laman Facebook RTA, enam mangsa maut dalam satu serangan ke atas stesen minyak di Ban Phue, wilayah Sisaket, akibat tembakan roket BM-21 yang dilepaskan dari arah Kemboja. Serangan itu turut mencederakan 10 orang awam.
Dua lagi maut, termasuk kanak-kanak terbabit, dalam serangan berasingan di Ban Chorok, Surin, manakala seorang lagi dilaporkan terbunuh di Ban Kut Chiang Mun, wilayah Ubon Ratchathani.
Lebih 40,000 penduduk dari 86 kampung telah dipindahkan ke pusat perlindungan sementara berikutan peningkatan ketegangan serta penggunaan senjata berat oleh kedua-dua pihak yang berkonflik.
Bagaimanapun, Kemboja menafikan bertanggungjawab atas serangan itu dan menuduh Thailand bertindak menyerang terlebih dahulu. Kementerian Pertahanan Kemboja menyifatkan tindakan Thailand sebagai pencerobohan yang melanggar kedaulatan negara dan mendakwa pasukan mereka hanya bertindak balas terhadap provokasi dari pihak Thailand.
Krisis sempadan antara Thailand dan Kemboja, yang berlarutan sejak Mei lalu, kini memasuki fasa paling kritikal sejak 2011 selepas Thailand dilaporkan mengerahkan jet pejuang F-16 untuk melancarkan serangan udara terhadap sasaran ketenteraan di wilayah Kemboja sebelum insiden terbaru ini tercetus.
Pemerhati serantau kini menyuarakan kebimbangan terhadap potensi konflik berskala lebih besar, apatah lagi melibatkan korban awam dan perpindahan besar-besaran penduduk yang dilihat semakin meningkat dari hari ke hari.
Berita berkaitan
October 29, 2025, 12:45 pm
Israel langgar gencatan senjata, Gaza kembali berdarah
October 28, 2025, 3:24 pm
Katy Perry, Justin Trudeau sahkan hubungan cinta secara terbuka di Paris
October 28, 2025, 10:56 am
Israel dilanda wabak maut terburuk, catat 5,000 kes dengan 8 kematian
October 21, 2025, 4:02 pm
Terima sokongan majoriti, Sanae Takaichi dilantik Perdana Menteri Wanita pertama Jepun
October 16, 2025, 12:09 pm
Trump pertimbang arah Israel serang semula Gaza jika Hamas langgar gencatan senjata
October 11, 2025, 11:47 am
AS kenakan tarif 100 peratus ke atas import China mulai 1 November — Trump
October 11, 2025, 10:19 am
Israel tarik balik tentera, perang di Gaza berakhir — Rakyat Palestin mula pulang ke rumah
October 9, 2025, 10:48 am
Israel, Hamas setuju laksana fasa pertama pelan damai Trump bagi Gaza
October 7, 2025, 9:14 am
Greta Thunberg selamat tiba di Greece selepas dibebaskan dari tahanan Israel
October 6, 2025, 9:43 am
