Berita Politik
'DAP patut minta maaf, jangan salahkan rakyat tuntut janji' - MCA
KUALA LUMPUR 30 Julai - DAP disaran tampil dengan cadangan konkrit untuk membantu kerajaan merealisasikan janji pemansuhan tol yang pernah dilaungkan pemimpin parti itu sebelum ini.
Gesaan itu disuarakan oleh Naib Presiden MCA, Datuk Ir Lawrence Low, susulan kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi di Dewan Rakyat baru-baru ini yang menyatakan bahawa pemansuhan tol melibatkan kos yang sangat tinggi dan bukan mudah untuk dilaksanakan.
Menurut Lawrence, kegagalan pihak DAP mengemukakan cadangan bagi merealisasikan janji itu sepatutnya disusuli dengan permohonan maaf secara terbuka daripada semua pemimpin parti tersebut.
"Pemimpin DAP yang kini memiliki 40 ahli Parlimen perlu mengakui menipu rakyat semata-mata mahu mendapatkan undi.
"Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka menuntut janji dan manifesto yang ditabur oleh pemimpin DAP.
Selain menuntut janji, rakyat juga mengharapkan kebajikan mereka dibela, lebih-lebih lagi dalam berdepan ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Alexander dalam ucapannya di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa kerajaan memerlukan dana yang besar untuk kerja-kerja penyelenggaraan sekiranya tol dihapuskan.
Justeru, katanya, pengurangan kadar tol dilihat lebih wajar dan realistik, terutamanya apabila syarikat konsesi telah mencapai pulangan pelaburan yang mencukupi.
Terdahulu, pada Oktober 2022, Pakatan Harapan (PH) pernah dilaporkan bersedia untuk memansuhkan tol di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sekiranya diberikan mandat membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Memetik laporan China Press, Pengerusi DAP ketika itu, Lim Guan Eng, menyatakan bahawa sepanjang 22 bulan PH mentadbir, kerajaan telah berjaya mengurangkan bayaran tol sebanyak 18 peratus.
Bekas Menteri Kewangan itu turut menambah bahawa penghapusan tol lebuh raya tersebut boleh dilaksanakan jika PH diberi tempoh pentadbiran selama lima tahun.
Dalam perkembangan lain, Lawrence turut berharap agar kerajaan mengambil kira pandangan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat semasa sesi libat urus menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Katanya, penyertaan wakil daripada persatuan pengguna, pemain industri, komuniti peniaga khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan B40, M40, masyarakat luar bandar dan belia amat penting bagi memastikan dasar yang digubal lebih inklusif, mesra rakyat dan fleksibel.
RMK13 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.
Berita berkaitan
July 26, 2026, 4:17 pm
'Amaran Zahid tak dipeduli' – Chong Zhemin dakwa PAS sebenarnya kuasai BN-PN
July 26, 2026, 4:12 pm
Belum ada perbincangan berkaitan PRU – Zahid
July 26, 2026, 9:39 am
PRN Negeri Sembilan: Zahid tepis dakwaan Muhyiddin, yakin keserasian BN-PN kekal utuh
July 25, 2026, 8:39 pm
PRN Negeri Sembilan: RCI Tabung Haji tidak wajar jadi modal kempen
July 25, 2026, 8:36 pm
PRN Negeri Sembilan: Mohamad Hasan jangka PRU lebih awal
July 25, 2026, 3:18 pm
PRN Negeri Sembilan: Zahid yakin manifesto BN mampu pacu ekonomi negeri
July 25, 2026, 3:14 pm
PRN Negeri Sembilan: PH desak Sanusi mohon maaf susulan kenyataan kaum
July 25, 2026, 9:57 am
PRN Negeri Sembilan: Manifesto BN kesinambungan agenda tergendala
July 23, 2026, 10:24 am
Muhyiddin tolak gesaan bubar BERSATU, tiada sebab kembali ke UMNO
July 22, 2026, 8:22 pm
