TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Gol awal babak kedua hancurkan harapan JDT 2, tewas 1-2 kepada Perak FA

By
|
Kongsi
image

PASIR GUDANG 21 Sept. – Hasrat Johor Darul Ta’zim 2 (JDT 2) untuk mengutip tiga mata penuh di laman sendiri lebur selepas tunduk 1-2 kepada Perak FA pada aksi Liga A1 Semi-Pro di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Sabtu lalu.

Pengendali JDT 2, Josep Ferre berkata, jaringan awal pasukan pelawat sejurus bermulanya babak kedua menjadi titik tolak kekalahan skuad kendaliannya.

“Gol kedua itu memusnahkan semangat pemain untuk bangkit. Ia berpunca daripada sepakan percuma selepas kekasaran yang bagi saya boleh dipertikaikan. Situasi sama pernah berlaku ketika menentang Seoul Phoenix sebelum ini.

“Selain itu, memang sukar berdepan pasukan yang gemar bertahan dengan menurunkan sembilan hingga 10 pemain pada satu-satu masa,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Perak FA terlebih dahulu menemui gawang pada minit ke-22 menerusi kapten, Kamal Arif Azrai Shaimar, namun jaringan dibatalkan kerana ofsaid.

Bagaimanapun, penyerang muda, Muhammad Rafieq Al-Amzar Zulkifli meletakkan Perak FA di depan pada minit ke-32 sebelum pemain import JDT 2, Celso Jose, menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Sebaik babak kedua bersambung, Muhammad Fadhil Mohammad Azmi menghadiahkan gol kemenangan buat skuad Kejor Yob Kejor pada minit ke-46 sekali gus menamatkan impian JDT 2.

Ferre kini mahu anak buahnya segera bangkit menjelang aksi menentang Machan FC, Jumaat ini.

“Perlawanan seterusnya sangat penting. Pemain perlu sedar mereka kini beraksi dalam liga yang turut menampilkan pemain senior dan import. Jadi, mereka mesti tampil di tahap terbaik untuk memastikan kemenangan,” tegasnya. — Media Telus

+ - reset