TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendidikan undang-undang perlu seiring teknologi, kekal berteraskan keadilan — Nalini Pathmanathan

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 2 April - Penaung Commonwealth Legal Education Association (CLEA), Tan Sri Nalini Pathmanathan, menegaskan keperluan mendesak untuk pendidikan undang-undang berkembang seiring kemajuan teknologi tanpa mengabaikan teras keadilan dan kemanusiaan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan CLEA di ibu negara yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan negara.

Menurutnya, pendidikan undang-undang tidak seharusnya dilihat sekadar latihan akademik, sebaliknya perlu menjadi pemangkin kepada perubahan sosial dan profesional dalam kalangan negara Komanwel.

“Undang-undang ialah entiti yang sentiasa berkembang. Kualitinya bergantung kepada mereka yang mengajar, mempelajari, mengamalkan serta mengadili pelaksanaannya,” katanya.

Mengulas peranan CLEA, beliau berkata organisasi itu sejak penubuhannya pada 1972 telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh prinsip kedaulatan undang-undang termasuk menyumbang kepada Latimer House Principles yang menjadi asas hubungan antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Dalam konteks Malaysia, beliau menyifatkan pewartaan Akta Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2026 sebagai langkah signifikan ke arah memperluas akses kepada keadilan.

“Ia mengingatkan kita bahawa undang-undang bukan sesuatu yang jauh dan eksklusif, tetapi mesti menjadi alat yang boleh diakses oleh setiap rakyat,” katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan keperluan profesion guaman untuk menyesuaikan diri dengan perubahan pesat dunia termasuk kemunculan kecerdasan buatan (AI).

Beliau memperkenalkan konsep “legal singularity”, iaitu keadaan masa depan di mana undang-undang menjadi lebih lengkap, boleh diramal dan boleh diakses secara masa nyata hasil kemajuan teknologi.

“Untuk mencapai tahap itu, pelajar undang-undang perlu menguasai bukan sahaja pemikiran perundangan, tetapi juga literasi digital serta memahami implikasi etika penggunaan AI,” katanya.

Tambah beliau, peranan CLEA kini semakin penting dalam memastikan pendidikan undang-undang kekal relevan dengan memberi penekanan kepada tiga aspek utama iaitu semangat undang-undang, penguasaan teknologi dan budaya khidmat kepada masyarakat khususnya golongan terpinggir.

Mengakhiri ucapan, beliau menggesa peserta persidangan memanfaatkan platform tersebut untuk merapatkan jurang antara teori dan amalan undang-undang.

“Persidangan ini bukan sekadar ruang perbincangan, tetapi peluang untuk memperkukuh sistem keadilan yang adil dan berani demi melindungi hak rakyat,” katanya. - Media Telus

+ - reset