TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hanya Malaysia yang berani turunkan harga minyak ketika ekonomi tidak menentu – PM

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 22 Sept - Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia yang memperkenalkan subsidi harga minyak menyeluruh untuk rakyat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah berani itu dapat dilaksanakan meskipun kerajaan mewarisi beban hutang besar, hasil daripada tadbir urus yang lebih baik serta usaha mengelak daripada mengulangi kesilapan pentadbiran lalu.

“Tidak semua negara mampu menurunkan harga bahan api untuk rakyatnya, apatah lagi ketika ekonomi tidak menentu. Kita buat pilihan berdasarkan situasi, walaupun berdepan hutang besar.

“Ini boleh dilaksanakan kerana kita sedang menuju ke arah tadbir urus lebih baik, hasil lebih baik, dan bila ketirisan dikurangkan, pulangan kepada negara akan jadi lebih tinggi,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, pagi tadi.

Anwar menegaskan langkah itu juga menggambarkan kebijaksanaan kerajaan dalam menetapkan keutamaan negara.

“Kalau semua negara di dunia berani turunkan harga minyak ketika ekonomi tidak stabil, itu memang memerlukan keberanian dan ketegasan. Dalam fiqh, ini dinamakan tartib al-awlawiyyat, iaitu memahami konteks dan menentukan keutamaan,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan harga RON95 ditetapkan pada RM1.99 seliter untuk semua rakyat Malaysia mulai 30 September 2025, berbanding RM2.05 seliter sebelum ini.

Polis dan tentera akan menikmati kadar baharu lebih awal pada 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula mendapat akses bermula 28 September.

Subsidi ini dikenali sebagai Budi Madani RON95 (BUDI95).

Siapa Yang Layak?
▪️ Semua warganegara dengan lesen memandu sah layak menikmati subsidi ini, melibatkan kira-kira 16 juta penerima manfaat.
▪️ Had penggunaan: 300 liter sebulan.
▪️ Pemandu e-hailing: layak menikmati kadar RM1.99 tanpa had bulanan.

Anwar menegaskan keputusan ini adalah hasil daripada keberanian politik serta kesungguhan kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat.

 

+ - reset