TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita maut dirempuh lori ketika tukar tayar di lorong kecemasan PLUS

By
|
Kongsi
image

 

SEREMBAN 19 Nov – Hasrat seorang wanita untuk ke tempat kerja berakhir tragedi selepas dia maut dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar keretanya di Kilometer 260.6 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, pagi tadi.

Mangsa berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat penapis air itu difahamkan dalam perjalanan ke pejabatnya di Senawang sebelum keretanya mengalami kerosakan kira-kira jam 9.20 pagi.

Rakan sekerja mangsa, Nur Affiqah Jamran, 30, berkata mereka pada awalnya menunggu kehadiran mangsa ke mesyuarat pagi sebelum menerima panggilan mengejutkan daripada rakan serumah arwah.

"Kami sepatutnya mesyuarat dengan arwah pagi ini, namun dia tidak muncul di pejabat membuatkan kami pelik sehinggalah saya dihubungi rakan serumahnya memberitahu dia kemalangan.

"Saya dan seorang rakan sekerja bergegas ke lokasi, namun sebaik sampai dia sudah meninggal dunia, mayatnya ditutup dengan kain putih," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Proton X50 dari arah Gadong menghala ke Senawang berhenti di lorong kecemasan selepas tayar belakang kanan kenderaan pancit.

"Siasatan awal mendapati ketika kejadian pemandu Proton X50, iaitu seorang wanita berusia 31 tahun dalam perjalanan dari arah Gadong menghala ke Senawang.

"Apabila sampai di lokasi kemalangan, SUV dipandunya dipercayai mengalami kerosakan, tayar belakang sebelah kanan pancit. Pemandunya dikatakan memberhentikan motokar di lorong kecemasan.

"Bagaimanapun, ketika sedang menukar tayar, datang sebuah lori kontena yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun di lorong kiri dan dipercayai bergesel dengan pemandu kereta itu," katanya.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat bagi mengenalpasti punca sebenar kematian. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

"Individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

+ - reset