Berita Berita
Premis tanpa tandas bersih tidak lagi layak dapat lesen perniagaan mulai tahun hadapan
KUALA LUMPUR 20 Nov - Bermula tahun hadapan, hanya premis yang memiliki tandas bersih dan memenuhi standard minimum kebersihan akan layak menerima kelulusan lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu akan dilaksanakan secara berfasa sebagai usaha mengangkat imej serta standard tandas di negara ini.
Menurutnya, pelaksanaan berfasa itu akan bermula di Majlis Bandaraya pada 2026, diikuti Majlis Perbandaran pada 2027 dan Majlis Daerah pada 2028.
“Langkah ini bagi memastikan standard tandas ‘BMW’ (Bersih, Menawan dan Wangi) menjadi norma nasional, selain meningkatkan imej perkhidmatan awam dan pengalaman pengguna menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada Majlis Penganugerahan Tandas Terbaik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2025 (TOTYA 2025) di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, garis panduan baharu itu turut menetapkan nisbah minimum kemudahan tandas di premis perniagaan dan bangunan awam, iaitu sekurang-kurangnya satu tandas lelaki dan dua tandas perempuan, selaras dengan keperluan pengguna serta aliran trafik pelanggan.
“Mulai tahun depan, tandas awam yang dibina perlu mematuhi garis panduan KPKT supaya dalam tempoh 10 tahun, budaya beratur panjang ketika musim perayaan tidak lagi berlaku.
“Saya sendiri melihat wanita memerlukan lebih masa menggunakan tandas. Perkara ini turut dibuktikan melalui dapatan saintifik daripada kerajaan Jepun,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kor Ming memaklumkan TOTYA 2025 mencatat sejarah dengan 744 penyertaan, meningkat berbanding 625 penyertaan pada 2024 dan 345 penyertaan pada 2023.
“Peningkatan ketara ini membuktikan bahawa TOTYA kini menjadi penanda aras kebangsaan dalam penilaian standard kebersihan dan kualiti tandas awam,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM180 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2024 untuk tujuan pembaikan dan naik taraf tandas awam di seluruh negara.
Pada majlis itu, pemenang bagi lapan kategori menerima hadiah RM20,000 beserta trofi dan sijil.
Antara pemenang termasuk Masjid Tepian Putra, Kuantan (kategori rumah ibadat), Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Kwok, Kuala Lumpur (kategori sekolah), dan Tandas Awam Terminal Putrajaya Sentral (kategori PBT).
Kategori restoran dimenangi Sushi Tie, Bintulu; kategori stesen minyak dimenangi Shell Jalan Hospital, Ipoh; manakala kategori Rehat dan Rawat (R&R) pula dimenangi R&R Tapah (Arah Selatan), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS Berhad).
NU Hotel, Bintulu memenangi kategori hotel, manakala Pavilion Bukit Jalil muncul pemenang kategori pusat beli-belah.
Berita berkaitan
April 7, 2026, 4:10 pm
Dera anak kucing di dobi, penganggur menangis kena penjara 6 bulan
April 7, 2026, 3:29 pm
Tak dapat peminjam, jiran pula jadi mangsa Ahlong kutip hutang
April 7, 2026, 2:11 pm
Tun Mahathir nafi jadi punca perpecahan, dakwa ahli UMNO enggan beralih arah ke Bersatu
April 7, 2026, 1:54 pm
Fahmi selesai beri keterangan kes saman fitnah terhadap Ustaz Dusuki
April 7, 2026, 1:45 pm
Isu Selat Hormuz: Hubungan akrab Malaysia, Iran kunci penyelesaian rundingan kapal terkandas
April 7, 2026, 12:50 pm
Remaja maut, rakan parah motosikal rempuh belakang lori rosak di Lebuhraya PLUS
April 7, 2026, 12:19 pm
Polis tahan 11 pemandu mabuk di Klang termasuk seorang wanita dalam Op Mabuk
April 7, 2026, 12:06 pm
