Berita Berita
Anwar puji komitmen Kenya dalam tangani kemiskinan dan perumahan mampu milik
NAIROBI 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji komitmen tinggi Kenya dalam usaha membasmi kemiskinan dan menyediakan perumahan mampu milik, menyifatkannya sebagai contoh kepimpinan yang ‘cukup mengagumkan’.
Berucap pada majlis santapan negara yang dihoskan Presiden Kenya, William Samoei Ruto malam tadi, Anwar berkata program besar-besaran negara Afrika Timur itu untuk membina lebih 150,000 unit rumah bagi komuniti berpendapatan rendah merupakan model kepimpinan yang luar biasa.
Anwar berkata, komitmen itu turut selari dengan pendekatan Malaysia dalam menangani isu kemiskinan tegar.
“Saya, seperti anda, sangat memandang serius soal pembasmian kemiskinan dan penyediaan perumahan untuk golongan miskin serta masyarakat umum,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan inspirasi terhadap fokus Kenya yang menggunakan kuasa dan tadbir urus bagi mengangkat martabat rakyat miskin, selaras dengan semangat perjuangan Presiden pertama Kenya, Jomo Kenyatta, yang memperjuangkan kebajikan rakyat sejak era kemerdekaan.
Dalam masa sama, Anwar menegaskan bahawa Malaysia dan Kenya mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
Katanya, Malaysia bersedia berkongsi kepakaran dalam sektor semikonduktor serta elektrik dan elektronik, selain turut ingin belajar daripada pembangunan pesat serta iltizam tinggi Kenya.
Perbincangan antara kedua-dua negara akan diteruskan hari ini melibatkan aspek perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang lebih luas sempena mesyuarat dua hala pemimpin.
Anwar, yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa; pegawai kanan kerajaan serta delegasi perniagaan.
Dalam rekod perdagangan, Kenya muncul sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia di Afrika pada 2024 dengan jumlah dagangan RM5.7 bilion, meningkat 1.2 peratus berbanding RM5.51 bilion pada tahun sebelumnya.
Anwar dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Nairobi lewat hari ini, menandakan tamatnya lawatan tiga negara beliau ke benua Afrika.
Berita berkaitan
January 13, 2026, 7:41 pm
Akmal Saleh luah isi hati kepada Ahmad Zahid
January 13, 2026, 7:34 pm
Najib kembali ke Mahkamah Tinggi bela diri dalam saman sivil SRC RM42 juta
January 13, 2026, 5:22 pm
Ahmad Zahid sahkan sudah bertemu Akmal Saleh
January 13, 2026, 5:15 pm
Hotel didakwa ‘gay friendly’ di Melaka tutup sementara operasi
January 13, 2026, 5:10 pm
KDN nafi imej reka bentuk pasport dan MyKad baharu tular di media sosial
January 13, 2026, 5:06 pm
MCMC bakal ambil tindakan undang-undang terhadap X dan xAI berhubung isu keselamatan Grok
January 13, 2026, 5:00 pm
Konstabel disyaki tampar penunggang motosikal dipanggil bertugas bantu operasi trafik
January 13, 2026, 2:39 pm
'Kalau kurang 10 sen pun terus maklum' - Fadhlina minta ibu bapa adu jika BAP dipotong
January 13, 2026, 2:00 pm
