TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pendedahan 'Edisi Siasat' tular, polis siasat siapa dalang sebar fakta siasatan Zayn Rayyan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 14 Jun – Kecoh sejak semalam di media sosial selepas beberapa muka surat menceritakan dipercayai kronologi sebenar pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin tular.

Beberapa keping gambar yang dimuatnaik sebuah saluran ‘Edisi Siasat’ di aplikasi Telegram, turut mengundang pelbagai spekulasi daripada masyarakat membabitkan kredibiliti pasukan polis negara yang menyiasat kes berkenaan.

Gambar fakta siasatan itu disyaki disebarkan oleh ‘orang dalam’ yang mahukan keadilan buat mangsa selepas kedua-dua suspek berkenaan hanya dikenakan pertuduhan atas Seksyen 31 (1) (a) iaitu pengabaian kanak-kanak.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tersebut. 

Katanya lagi, polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, MCMC bagi mengesan mereka yang terlibat.

“Ia adalah perkara yang perlu dilakukan, samada pihak MCMC berkemampuan itu saya tidak pasti. Kami akan siasat apa yang telah dikeluarkan dalam konteks ES itu dan ingin saya katakan sekali lagi segala perkara yang melibatkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.”

“Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan kemudian, kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan itu.”

“Kita akan menyiasat sepenuhnya. Sesiapa yang kita kenalpasti, saya tidak teragak-agak langsung kerana segala penat jerih rakan-rakan boleh tergugat dengan perkara itu.” katanya dalam sidang media di Bukit Aman sebentar tadi.

Beliau turut menegaskan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu boleh mengganggu perbicaraan bagi menegakkan keadilan terhadap kanak-kanak malang itu. Bahkan ia juga memberi impak kepada semua pihak termasuk pendakwaan, pembelaan dan keluarga.

Berkenaan kenyataan peguam Fahmi Abd Moin yang mendakwa, siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih dijalankan sehingga pelaku sebenar ditahan, beliau berkata siasatan telah selesai sejurus sahaja pendakwaan terhadap ibu bapa mangsa di mahkamah semalam.

“Seperti yang saya katakan semalam, bahagian kita dalam menyiasat kes itu telah diakhiri dengan pendakwaan ibu bapa Zayn Rayyan.”

 

“Sekiranya ada pendedahan baharu semasa prosiding perbicaraan dan Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan kami menyiasat lebih lanjut, kami akan berbuat demikian,” tambahnya.

Mengenai tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor yang kini menjaga adik Zayn Rayyan, beliau berkata ia adalah tanggungjawab undang-undang dan moral untuk berbuat demikian.

“Saya rasa dengan pertuduhan 31 (1) itu pihak JKM melihat ini pandangan saya ya, melihat akan perlunya mereka menilai kedudukan anak yang kedua itu. Itu adalah tanggungjawab undang-undang dan moral daripada pihak JKM,” katanya. – Media Telus

#zaynrayyan #polis #edisisiasat

 

+ - reset