Berita Berita
Tidak puas hati kerja bersihkan stor senjata punca anggota tentera dipukul hingga parah di Kem RAMD
KUALA LUMPUR 2 April - Ketidakpuasan hati terhadap tugasan pembersihan stor senjata dipercayai menjadi punca seorang anggota tentera parah dipukul dalam kejadian di Kem Batalion Ke-25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Pahang pada Isnin lalu.
Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi Sel Perhubungan Raya memaklumkan siasatan awal mendapati seorang anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) bertindak menggunakan kekerasan dengan menampar dan menumbuk tujuh anggota lain di bahagian muka serta perut.
“Akibat kejadian itu, Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum diberikan rawatan kecemasan awal di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) 25 RAMD.
“Mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Bentong sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dan kini menerima rawatan rapi menggunakan alat bantuan pernafasan,” menurut kenyataan itu.
Dalam kejadian sama, enam anggota lain dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut kenyataan itu, kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Bentong oleh pihak polis selepas keterangan diambil.
Tambahnya, anggota PTTR yang disyaki terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Tentera Darat Malaysia menegaskan pihaknya memandang serius insiden berkenaan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta peraturan sedia ada,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan selain menghormati privasi mangsa serta keluarganya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memaklumkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.45 pagi, Selasa, daripada bapa salah seorang mangsa.
Siasatan awal mendapati suspek merupakan anggota berpangkat koperal berusia 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam insiden berkenaan.
Susulan itu, polis menahan suspek pada jam 2.30 petang hari sama bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, dan perintah reman terhadap suspek diperoleh selama empat hari bermula 1 hingga 4 April ini.
Berita berkaitan
April 2, 2026, 5:15 pm
Polis buka dua kertas siasatan insiden bas ekspres, lori ayam bertengkar di Gerik
April 2, 2026, 5:03 pm
Penunggang motosikal putus kaki dirempuh pemandu langgar lampu merah di Jalan Sultan Ismail
April 2, 2026, 4:55 pm
Rafizi mengaku 'gagal' berdiam diri, enggan membodek walau ditekan pelbagai pihak
April 2, 2026, 4:35 pm
Pendidikan undang-undang perlu diperkasa untuk lahirkan peguam masa depan — Prof Sivakumar
April 2, 2026, 4:32 pm
