TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Tinggal setahun lebih sahaja, tak sesuai rombakan kabinet besar-besaran' – Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Kerajaan tidak akan melakukan rombakan Kabinet secara besar-besaran dalam masa terdekat, sebaliknya hanya menumpukan kepada pengisian beberapa kekosongan sedia ada, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI yang berbaki sekitar setahun setengah menjadikan rombakan menyeluruh tidak sesuai buat masa ini.

“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Namun rombakan besar tidak sesuai kerana Kabinet ini hanya akan berfungsi untuk tempoh setahun lebih atau setahun setengah.

“Jadi saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan. Walau bagaimanapun, saya sedang meneliti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) pertama Perodua di sini, hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan spekulasi mengenai kemungkinan rombakan Kabinet yang kembali menjadi tumpuan selepas beberapa menteri dan timbalan menteri berstatus Senator dijangka menamatkan penggal perkhidmatan mereka awal bulan ini.

Antara yang terlibat ialah Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abd Kadir; Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.

Anwar menegaskan, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kelangsungan pentadbiran kekal stabil dan fokus kepada pelaksanaan dasar serta agenda pembangunan negara, termasuk pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

+ - reset