TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tak puas hati kena hon, penunggang motosikal baling batu pecahkan cermin kereta di Linkedua

By
|
Kongsi
image

ISKANDAR PUTERI 2 Dis – Seorang penunggang motosikal dipercayai warga Singapura bertindak agresif apabila membaling batu ke arah sebuah kereta sehingga memecahkan cermin belakang dalam kejadian di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, semalam.

Insiden itu tular selepas klip video berdurasi 24 saat dimuat naik di Facebook, menunjukkan penunggang berkenaan mempercepatkan motosikalnya sebelum melemparkan batu ke arah kereta tersebut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan mengesahkan pihaknya mengesan video tular berkenaan, manakala pemilik kereta berusia 30 tahun telah membuat laporan polis.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.20 pagi berhampiran Plaza Tol Perling menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Menurut Kumarasan, pemandu kereta itu mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal terbabit menukar lorong secara tiba-tiba. Susulan itu, penunggang berkenaan dikatakan mengejar kereta tersebut sebelum membaling batu sehingga memecahkan cermin belakang.

“Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, tindakan penunggang motosikal itu membahayakan keselamatan awam dan menyebabkan kerosakan harta benda,” katanya dalam kenyataan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga lima tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Polis meminta saksi atau individu yang mempunyai maklumat tampil menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah di talian 07-5113622 atau Hotline 24 jam di 07-5114486.

+ - reset