Berita Berita
HRD Corp lulus dana latihan RM2.62 bilion pada 2025, perkasa kemahiran tenaga kerja negara
KUALA LUMPUR 14 Jan - Human Resource Development Corporation (HRD Corp) meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM2.62 bilion bagi aktiviti latihan dan pembangunan kemahiran sepanjang tahun 2025, meningkat 32 peratus berbanding tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh modal insan negara.
Jumlah itu melibatkan kelulusan lebih 2.8 juta tempat latihan, peningkatan tiga peratus berbanding 2024, dengan sektor pembuatan merekodkan bilangan tertinggi iaitu melebihi 795,000 tempat latihan.
Sektor berkenaan kekal sebagai antara penyumbang utama ekonomi negara dengan sumbangan antara 23 hingga 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain menggaji kira-kira 2.4 juta pekerja setakat November 2025.
Dalam sektor ekonomi digital dan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT), HRD Corp meluluskan RM130 juta di bawah inisiatif Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), melibatkan lebih 103,000 tempat latihan. Ekonomi digital dijangka menyumbang 25 peratus kepada KDNK pada 2025 berbanding 23.4 peratus pada 2024.
HRD Corp turut menegaskan bahawa pembangunan kemahiran kini menjadi faktor kritikal dalam meningkatkan daya tahan tenaga kerja dan daya saing perniagaan, khususnya ketika industri berdepan perubahan teknologi pesat dan keperluan pekerjaan yang semakin kompleks.
Dalam aspek keterangkuman, seramai 18,137 rakyat Malaysia menerima manfaat pembangunan kemahiran melalui pelbagai inisiatif bersasar hasil gabungan geran kerajaan dan dana dalaman HRD Corp.
Antaranya termasuk Inisiatif Kemahiran Masyarakat India Malaysia (MISI) yang melibatkan 1,108 peserta pada 2025, dengan tambahan 442 peserta lagi dijangka menyertai latihan.
Sementara itu, Inisiatif Professional Advancement in Trucking and Haulage (PATH), hasil kerjasama HRD Corp, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Pengangkutan, menyasarkan 1,000 peserta di seluruh negara. Pada 2025, seramai 156 peserta berjaya dilatih melibatkan pensijilan pemanduan Kelas E dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).
HRD Corp juga bekerjasama dengan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS), melibatkan 427 peserta yang menamatkan latihan berasaskan kecekapan dan pensijilan sejajar keperluan pasaran pekerjaan, dengan sokongan majikan bagi penempatan kerja.
Dalam usaha memperkukuh latihan inklusif, Inisiatif Transformasi Pasaran Latihan (TMT) menyaksikan lapan sesi Latihan Jurulatih (Train-the-Trainer) dilaksanakan pada 2025, memberi manfaat kepada 134 orang kurang upaya (OKU).
Di peringkat komuniti pula, seramai 9,929 peserta menerima latihan melalui Pusat Latihan Pembangunan Kemahiran (PLPK), manakala 4,210 individu mendapat manfaat program kesedaran awam dan khidmat nasihat, dengan sokongan 39 rakan strategik.
Bersempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia, HRD Corp menerajui ASEAN Year of Skills 2025 (AYOS 2025) dengan tujuh platform utama, termasuk penganjuran Global Skills Forum 2025 dan ASEAN Forum of Manpower Ministers for Human Capital Development.
Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 pula mencatat lonjakan ketara dengan 3.74 juta pendaftaran berbanding 375,817 pada 2024, selain dibuka kepada penyertaan antarabangsa buat pertama kali.
Dari sudut kewangan, HRD Corp merekodkan aset di bawah pengurusan bernilai RM4.16 bilion, meningkat tiga peratus, dengan pulangan pelaburan sebanyak RM215 juta atau ROI 5.35 peratus, hasil pendekatan pelaburan berdisiplin dan berasaskan risiko.
HRD Corp memaklumkan akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif pembangunan kemahiran pada 2026 dengan fokus kepada peningkatan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pemerkasaan tenaga kerja ke tahap kemahiran lebih tinggi.
Berita berkaitan
January 14, 2026, 2:37 pm
Samenta kecam penutupan hotel ‘mesra gay’ di Melaka
January 14, 2026, 2:25 pm
Pas cabar Ahmad Zahid berlawan hujah dan idea di pentas demokrasi
January 14, 2026, 2:18 pm
Wanita warga emas maut dilanggar MPV ketika melintas jalan di Bandar Baru Sentul
January 14, 2026, 2:11 pm
UMNO akui cabaran peruntukan jentera penerangan, Zahid tekankan strategi ofensif
January 14, 2026, 1:29 pm
SPRM tahan seorang lagi pegawai tinggi ATM, siasatan kartel tender tentera darat diperluas
January 14, 2026, 11:20 am
Kerajaan Madani terlibat langsung dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0
January 14, 2026, 11:16 am
Pemandu lori maut tersepit dalam nahas dua kenderaan di Lebuhraya PLUS
January 14, 2026, 11:11 am
