TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Hari Ponggal lambang perpaduan, rakyat diingatkan tolak politik pecah belah – Yuneswaran

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 14 Jan - Sambutan Hari Ponggal bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat India, sebaliknya membawa mesej penting mengenai perpaduan, kesyukuran dan kekuatan kepelbagaian yang menjadi asas keharmonian negara.

Timbalan Menteri Perpaduan, R. Yuneswaran berkata, perayaan itu mengingatkan masyarakat tentang nilai kerja keras, pengorbanan serta keberkatan hasil yang diperoleh selepas melabur masa dan tenaga.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Ponggal, hari ini.

Menurutnya, Hari Ponggal bukan acara keagamaan semata-mata, sebaliknya satu tradisi kebudayaan masyarakat India yang diraikan secara bersama oleh rakyat pelbagai kaum di seluruh negara dan dunia.

“Sambutan ini mengingatkan kita tentang perpaduan, Hari Penuaian dan kesyukuran. Apa yang kita tanam, itulah yang akan kita tuai, dan hasil itu seharusnya membawa keberkatan,” katanya.

Sehubungan itu, Yuneswaran mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ponggal kepada seluruh masyarakat India di Malaysia serta menegaskan bahawa semangat Malaysia MADANI dan perpaduan perlu terus diperkukuhkan.

Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan adalah kekuatan utama negara dan menjadi faktor Malaysia dikenali serta dihormati di peringkat serantau.

“Kita bersyukur kerana Malaysia mempunyai pelbagai kaum, bangsa dan budaya. Kepelbagaian inilah yang menjadikan negara kita hebat, aman dan berjaya,” katanya.

Menurut beliau, secara umumnya rakyat Malaysia hidup dalam suasana harmoni, saling menghormati dan bertoleransi, namun perpaduan itu kadangkala terancam akibat segelintir pihak yang memainkan isu perkauman dan menggunakan agama sebagai alat politik untuk memecah-belahkan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan budaya dan naratif yang boleh merosakkan perpaduan negara.

“Perbezaan budaya, adat dan cara hidup bukan kelemahan, sebaliknya kekuatan kita. Walaupun berbeza, kita mampu hidup bersama dalam suasana majmuk yang lebih aman dan bersatu berbanding banyak negara lain,” katanya.

Yuneswaran turut menggesa semua pihak menolak sikap perkauman, sentimen kebencian dan politik yang memecah-belahkan rakyat tanpa mengira latar belakang atau parti.

“Saya yakin rakyat Malaysia mampu membuat pilihan yang bijak dan melakukan yang terbaik demi kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat secara bersama,” katanya. - Media Telus

+ - reset