TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat pemimpin utama DAPSY Johor letak jawatan

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 2 Dis - Empat pemimpin utama sayap pemuda DAP Johor, Democratic Action Party Socialist Youth (DAPSY), termasuk ketuanya, Loh Wei Jian mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta berikutan peningkatan komitmen dalam urusan kerja dan peribadi mereka.

Wei Jian berkata, beliau bersama Setiausaha DAPSY Johor, Suweeta Lam Xiao Wei; Setiausaha Penganjur, Lee Jia Hau dan Ahli Jawatankuasa, Lee Wan Chian telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Sekretariat DAPSY Kebangsaan pada jam 7 pagi Isnin.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas mereka mendapati semakin sukar untuk menyeimbangkan tanggungjawab parti dengan komitmen kerja, keluarga serta kehidupan peribadi.

“Johor satu-satunya negeri yang mana parti ini bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.

“Selepas pertimbangan yang teliti, kami secara sukarela berundur bagi memastikan sayap negeri dapat terus berfungsi dengan baik dan lebih bersedia menghadapi pilihan raya akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keempat-empat pemimpin itu merupakan tulang belakang kepimpinan negeri dan beliau menggesa Sekretariat Kebangsaan mempercepatkan proses pemilihan semula kepimpinan baharu.

Menurut Wei Jian, barisan pengganti perlu ditentukan segera supaya mereka mempunyai masa mencukupi merangka hala tuju organisasi serta memperkukuh usaha mendekati pengundi muda menjelang Pilihan Raya Negeri Johor dan Pilihan Raya Umum akan datang.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa dirinya dan Suweeta Lam yang turut memegang jawatan dalam Jawatankuasa DAPSY Kebangsaan akan terus berkhidmat di peringkat pusat, manakala peletakan jawatan yang diumumkan hanya melibatkan peranan mereka di peringkat negeri Johor.

Wei Jian turut menzahirkan sokongan penuh terhadap Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong serta empat keutamaan dasar sayap pemuda itu, iaitu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), penyelarasan kemasukan universiti, pengembalian pendidikan politik dan pengambilan bakat muda.

“Sebagai Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan, saya akan terus bekerjasama rapat dengan Kah Leong bagi memperkasa pendidikan politik dalam parti,” katanya lagi.


 

+ - reset