Berita Berita
'Yang nak marah pegawai kerajaan kenapa?' - Anwar tegaskan projek Kota MADANI tidak guna wang kerajaan
KUALA LUMPUR 2 Dis - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa projek pembangunan Kota MADANI di Putrajaya tidak menggunakan dana kerajaan, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH).
Beliau berkata, dakwaan pembangkang bahawa kos projek berkenaan wajar disalurkan untuk pembinaan lebih banyak sekolah adalah tidak berasas kerana sumber pembiayaan itu tidak melibatkan peruntukan kerajaan Persekutuan.
“Kota MADANI ini Putrajaya Holdings yang buat, bukan dana kerajaan. Kedua, yang nak marah kepada pegawai kerajaan mengapa? Kota MADANI itu untuk 10,000 rumah penjawat awam di sekitar Putrajaya kerana ketika ini kita tidak dapat menampung,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Rosol Wahid, Anwar menegaskan Kota MADANI bukan projek mega semata-mata untuk imej, sebaliknya keperluan asas bagi menyelesaikan isu perumahan penjawat awam di Putrajaya.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa pembangunan itu bersifat terlalu mewah, sebaliknya direka sebagai bandar pintar berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mesra alam.
“Kota ini bukan ‘twin tower’. Ia bandar pintar dan mesra AI. Apa salahnya?” kata Perdana Menteri lagi.
Kota MADANI dijangka merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menempatkan lebih 30,000 penduduk, selain sekolah menegak dan pelbagai kemudahan awam. Pembangunan itu turut merangkumi integrasi teknologi AI, infrastruktur digital pintar serta sistem mobiliti hijau.
Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.
Anwar berkata, fasa pertama projek itu dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan pendekatan pembangkang yang mempertikai Kota MADANI dan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang, namun tidak membangkitkan kos tinggi projek Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link) yang menelan belanja sehingga RM50 bilion.
“Ini contoh fakta dipusingkan. Mengapa tidak dipersoalkan ECRL yang kosnya RM40 bilion hingga RM50 bilion, yang memberi manfaat kepada Kelantan dan Terengganu?
“Kita tidak persoal kerana kita faham ia projek nasional. Bezanya, kerajaan sekarang berjaya mengurangkan kos dan memastikan subkontraktor tempatan dilibatkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan projek LRT Pulau Pinang perlu difahami sebagai pelaburan jangka panjang dan bukan semata-mata perbelanjaan pembangunan, sebaliknya turut melibatkan pembiayaan melalui bon serta mekanisme bayaran balik.
Berita berkaitan
January 14, 2026, 8:46 pm
Hari Ponggal lambang perpaduan, rakyat diingatkan tolak politik pecah belah – Yuneswaran
January 14, 2026, 6:46 pm
Kabinet beri 'lampu hijau' KDN laksana operasi pekerja asing salah guna visa
January 14, 2026, 5:13 pm
Wanita dakwa dicabul, dipukul 'pegawai polis' ketika tunggu suami dalam kereta di Gombak
January 14, 2026, 4:28 pm
Bayi tiga bulan patah tulang paha disyaki jadi mangsa dera pengasuh di Taman Koperasi Polis
January 14, 2026, 2:37 pm
Samenta kecam penutupan hotel ‘mesra gay’ di Melaka
January 14, 2026, 2:25 pm
Pas cabar Ahmad Zahid berlawan hujah dan idea di pentas demokrasi
January 14, 2026, 2:23 pm
HRD Corp lulus dana latihan RM2.62 bilion pada 2025, perkasa kemahiran tenaga kerja negara
January 14, 2026, 2:18 pm
Wanita warga emas maut dilanggar MPV ketika melintas jalan di Bandar Baru Sentul
January 14, 2026, 2:11 pm
