TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kekecohan di Sungai Besar berpunca tuntutan hutang gagal diselesaikan

By
|
Kongsi
image

 

SABAK BERNAM 4 Dis – Kekecohan membabitkan tiga individu dan seorang pemandu kereta di Jalan SBBC 3, Pekan Sungai Besar pada Rabu dipercayai berpunca daripada tuntutan hutang yang tidak dapat diselesaikan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.30 petang sebelum laporan diterima pada jam 5.34 petang.

Menurutnya, tiga lelaki yang juga ahli keluarga bertemu pemandu kereta terbabit untuk menuntut hutang, namun pertemuan itu bertukar tegang sehingga mencetuskan tindakan agresif.

“Keempat-empat lelaki warga tempatan berusia 31 hingga 53 tahun ditahan di lokasi kejadian antara jam 5.20 hingga 6 petang,” katanya pada Khamis.

Dalam video tular, pemandu kereta yang merupakan penghutang dilihat cuba melarikan diri dengan mengundur kenderaan hingga melanggar sebuah kereta lain, sebelum memecut ke hadapan dan hampir melanggar kumpulan yang mengejarnya.

Akibat kejadian itu, tiga kenderaan mengalami kerosakan luaran manakala kaki lima premis berdekatan turut rosak.

Md Yusof berkata, polis masih mengesan seorang lagi individu yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi serta menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis.

+ - reset