TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kuala Lumpur sesak teruk, beberapa laluan utama dinaiki air hingga paras pinggang

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 4 Dis - Hujan lebat yang melanda ibu negara sejak petang tadi mengakibatkan kesesakan luar biasa di beberapa laluan utama sekitar pusat bandar, khususnya di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur termasuk sekitar KLCC.

Keadaan trafik mula mengalami kesesakan teruk kira-kira jam 5 petang dan berlarutan sehingga kini, dengan ratusan kenderaan dilaporkan tidak bergerak atau bergerak terlalu perlahan di beberapa persimpangan penting.

Di Jalan Ampang, aliran trafik dari arah Bukit Nanas menuju ke Jalan Jelatek dilaporkan terhenti sejak jam 6 petang, dengan kesesakan semakin buruk apabila kenderaan dari arah Jalan P. Ramlee dan Jalan Yap Kwan Seng turut memasuki laluan sama.

Situasi turut diperburuk apabila ratusan kenderaan keluar dari kawasan parkir bangunan serta tempat letak kereta berbayar sekitar KLCC serentak, sekali gus menyebabkan kesesakan di laluan utama.

Rakaman video dan gambar tular di media sosial memaparkan kenderaan yang melalui hadapan KLCC khususnya di Wisma Getah dilaporkan tidak bergerak hampir setengah jam.

Keadaan sama turut dilaporkan di Jalan Tun Razak di kedua-dua arah, iaitu dari Sungai Besi dan dari Jalan Pahang, dengan aliran trafik dilihat sesak teruk.

Lebih memburukkan keadaan, paras air turut dikesan naik ke atas jalan di Jalan Pahang, yang dipercayai menjadi antara punca kesesakan ketara di laluan tersebut.

Kesesakan juga dilaporkan berlaku di Lebuhraya Bertingkat Kuala Lumpur–Ampang (AKLEH), namun kenderaan masih boleh bergerak secara perlahan.

Setakat ini, pihak media masih menunggu pengesahan dan maklumat lanjut daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur berhubung perkembangan semasa dan sebarang penutupan laluan.

 

+ - reset