TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ahli Parlimen Padang Serai sahkan ditahan SPRM kes projek lembu bawah Kedah Agro

By
|
Kongsi
image

 

ALOR SETAR 5 Dis – Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, tampil menjelaskan situasi sebenar selepas ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan projek usahasama ternakan lembu kerajaan negeri Kedah, sambil mempersoalkan pertukaran mendadak status dirinya daripada saksi kepada tertuduh.

Menurut Azman, beliau pada awalnya hadir ke pejabat SPRM Kedah pada 25 Mac lalu sebagai saksi bagi membantu siasatan projek fidlot di bawah Kedah Agro. 

Namun, beliau menerima arahan mengejut pagi semalam untuk bertemu pegawai penyiasat di R&R Sungai Buloh arah utara.

"Sebaik tiba di lokasi, saya dimaklumkan bahawa saya bukan lagi dipanggil untuk memberi keterangan, tetapi akan didakwa di mahkamah. Pertukaran status ini terlalu drastik. Saya percaya ada unsur tekanan politik untuk menjatuhkan imej saya sebagai wakil rakyat Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu rakaman video dimuat naik di media sosialnya hari ini.

Beliau turut dimaklumkan bahawa dua lagi individu akan dituduh bersama-sama dengannya di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin ini.

Walaupun tidak bersetuju dengan cara penahanan dibuat, Azman berkata beliau akan tetap hadir pada jam 8.30 pagi bagi mendengar pertuduhan dan mempertahankan diri.

"Saya bersedia hadapi tuduhan ini. Kita akan lawan ikut saluran undang-undang," ujarnya.

Dalam masa sama, Azman turut mendakwa bahawa tindakannya mengulas isu integriti melibatkan setiausaha politik Perdana Menteri sebelum ini mungkin menjadi punca beliau kini disiasat.

"Selepas saya bangkitkan perkara itu, saya pula yang ditahan," katanya.

Terdahulu, laporan media menyebut SPRM menahan seorang ahli Parlimen susulan aduan diterima pada 10 Februari lalu, dan setakat ini 15 saksi telah dipanggil membantu siasatan kes projek ternakan lembu berkenaan.

+ - reset