TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Bila PM buat benda betul, kita cakap betul, kalau buat silap kita ada tanggungjawab bersuara' - Guan Eng

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 6 Dis – Dalam perkembangan politik pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang memberi tamparan besar kepada DAP, parti itu kini mengambil pendirian lebih tegas dengan menyuarakan secara terbuka keperluan kerajaan mempercepat pelaksanaan janji reformasi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP pada 1 Disember lalu, Setiausaha Agung parti itu, Anthony Loke menegaskan keputusan PRN Sabah yang menyaksikan DAP kalah di semua lapan kerusi ditandingi sebagai “mesej jelas dan kuat daripada pengundi” serta mencerminkan wujudnya krisis keyakinan serius terhadap DAP dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata DAP akan bekerjasama rapat dengan perdana menteri untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.

Langkah tegas parti itu diterjemahkan lagi melalui kenyataan penasihat DAP, Lim Guan Eng, yang berkongsi ucapannya di Pulau Pinang baru-baru ini, memaklumkan bahawa terdapat pandangan dalam kalangan rakyat bahawa Anwar masih belum berbuat secukupnya sebagai kerajaan.

Lim menegaskan DAP memberi perhatian serius terhadap keresahan rakyat dan akan menyampaikannya kepada perdana menteri supaya janji yang dibuat kerajaan dapat ditunaikan secepat mungkin.

“Apabila perdana menteri buat perkara yang betul, kita mesti bercakap dia melakukan perkara yang betul, tapi apabila dia buat silap atau tak memadai, kita ada tanggungjawab untuk bersuara. Ini prinsip asas sebagai wakil rakyat,” katanya.

Ucapan itu dibuat kira-kira 48 jam selepas kekalahan besar DAP di Sabah, yang dilihat sebagai petanda kemungkinan pola sama berulang dalam Pilihan Raya Umum akan datang jika langkah pemulihan tidak segera diambil.

Lim turut menyatakan harapan agar Anwar mengumumkan “berita baik pada hujung tahun ini” dan tidak mengecewakan sokongan serta keyakinan bukan Melayu terhadap PH.

“Bukan Melayu mesti rasa undi mereka tidak sia-sia.

“Langkah paling penting ialah menambah peruntukan untuk masyarakat bukan Melayu, terutama sekolah dan kuil, supaya pendidikan dan agama masing-masing boleh berkembang dengan lebih baik,” katanya.

Dalam satu lagi kenyataan, Lim meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan yang menurutnya mengabaikan gesaan berulang kali berhubung bantahan terhadap peluasan cukai barangan dan perkhidmatan (SST) serta langkah lain yang didakwa membebankan rakyat.

“Perdana menteri boleh pilih untuk tak dengar saya. Tapi dia tak boleh abaikan suara pengundi Sabah,” katanya.

+ - reset