Berita Berita
Pasangan suami isteri dipenjara sehari, denda RM800 kerana curi barangan RM70.69
MELAKA 9 Dis - Sepasang suami isteri dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri pelbagai barangan termasuk ikan cencaru dan kicap, dua tahun lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman terhadap Siti Nurulaini Johari, 40, dan suaminya Tengku Azman Tengku Jalal, 46, selepas mahkamah menerima pengakuan bersalah mereka.
Menurut pertuduhan, pasangan itu mencuri 12 keping WC precut (1.6 gram), lima ekor ikan cencaru, deodoran, kicap manis dan empat tin minuman keras dengan nilai keseluruhan RM70.69 dari sebuah pasar raya di Taman Paya Rumput Utama, Melaka, pada 6.30 petang, 27 September 2023.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Kejadian dikesan jurujual pasar raya berkenaan sebelum memaklumkan kepada pengurus. Siti Nurulaini ditahan ketika cuba keluar tanpa membuat pembayaran, manakala Tengku Azman yang melarikan diri berjaya ditahan polis bersama barangan yang dicuri.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib, manakala pasangan itu diwakili peguam SS Amritpal Singh.
Pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh. Namun, pihak pembela merayu hukuman ringan dengan alasan pasangan itu sudah insaf dan kesalahan dilakukan akibat kekangan kewangan, selain menanggung tiga anak bersekolah.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Tengku Azman bekerja sebagai penghantar barangan, manakala Siti Nurulaini yang menghidap penyakit buah pinggang perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala.
Mahkamah akhirnya memerintahkan kedua-duanya dipenjara sehari dan denda RM400 setiap seorang, dan jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara dua bulan.
Berita berkaitan
April 2, 2026, 12:31 pm
Azam Baki enggan ulas isu lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya SPRM
April 2, 2026, 12:19 pm
Anthony Loke ziarah balu mangsa rempuhan pemandu mabuk, sampaikan sumbangan peribadi
April 2, 2026, 12:03 pm
Hukum rimba ganti kedaulatan undang-undang global, PM bidas sikap hipokrit kuasa besar
April 2, 2026, 11:47 am
Kifarah Langkah Kajang: Faekah Husin persoal kredibiliti Rafizi dan kepimpinan Anwar
April 2, 2026, 11:38 am
Mekanik maut rempuh van polis sedang membelok masuk stesen minyak
April 2, 2026, 11:26 am
