Berita Berita
‘Jangan hukum majikan’ – MEF desak kerajaan semak semula Seksyen 45F
KUALA LUMPUR 18 Dis - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyokong usaha kerajaan memperkukuh sistem pelaporan kekosongan jawatan di bawah Seksyen 45F Akta Sistem Insurans Pekerjaan (EIS), namun menegaskan pelaksanaannya mesti bersifat praktikal, seimbang dan tidak membebankan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah memperkemas data pasaran buruh selaras dengan amalan antarabangsa dan mampu menyumbang kepada pembangunan pasaran tenaga kerja Malaysia dalam jangka panjang, sekiranya dilaksanakan secara berperingkat dan berhemah.
Menurut beliau, pelaporan kekosongan jawatan telah lama diamalkan di negara maju seperti Kesatuan Eropah dan Jerman, selain Singapura yang mewajibkan pengiklanan jawatan kosong melalui portal nasional sebelum permohonan pas pekerjaan asing dibuat, bagi memastikan ketelusan serta keutamaan kepada pencari kerja tempatan.
“Data kekosongan jawatan yang lebih tepat bukan sahaja memberi manfaat sosial, malah membantu majikan dalam jangka panjang. Dengan gambaran jelas mengenai trend pengambilan pekerja dan kekurangan kemahiran, kerajaan dapat menyasarkan program pendidikan, TVET dan peningkatan kemahiran secara lebih berkesan,” katanya.
Bagaimanapun, MEF menegaskan bahawa pelaksanaan Seksyen 45F mesti mengambil kira keupayaan operasi syarikat, khususnya firma kecil yang tidak mempunyai kakitangan sumber manusia khusus.
Beliau berkata, pengenaan penalti menyeluruh sehingga RM10,000 bagi ketidakpatuhan pentadbiran adalah tidak seimbang dan tidak mencerminkan realiti sebenar dunia perniagaan.
“Majikan sering berdepan keperluan tenaga kerja yang berubah-ubah, proses penstrukturan semula dan tuntutan operasi mendesak. Keperluan pelaporan dalam tempoh tujuh hari, digabungkan dengan denda yang tinggi, adalah tidak realistik,” katanya.
Tambah beliau, penalti terkumpul sekiranya melibatkan pelbagai kekosongan jawatan dalam tempoh tertentu boleh meningkatkan risiko pematuhan dan memberi tekanan kewangan yang tidak perlu kepada syarikat yang sudah berdepan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi.
MEF turut menyuarakan kebimbangan terhadap pengumuman oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada 4 Disember lalu mengenai penglibatan pihak berkepentingan dan moratorium penguatkuasaan selama dua tahun, yang hanya dibuat selepas pindaan undang-undang diluluskan.
“Adalah membimbangkan apabila rundingan bermakna dengan majikan tidak dilaksanakan sebelum pindaan dibentangkan dan diluluskan. Dasar awam tidak sepatutnya dilaksanakan terlebih dahulu dan dibincangkan kemudian kerana ia menjejaskan kepercayaan, ketelusan dan tadbir urus yang baik,” katanya.
Menurut beliau, moratorium tersebut tidak menyelesaikan isu utama kerana penalti tidak seimbang dan tempoh pelaporan yang tidak praktikal masih kekal.
“Moratorium hanya menangguhkan masalah. Isu asas masih belum ditangani,” katanya.
Sehubungan itu, MEF menyeru kerajaan dan Ahli Dewan Negara supaya mempertimbangkan pendekatan lebih adil termasuk pengenalan struktur penalti berperingkat berdasarkan saiz organisasi, meminda Seksyen 45F bagi menghapuskan elemen hukuman melampau, serta melaksanakan rundingan tulen dengan majikan sebagai pelaksana utama sistem berkenaan.
MEF juga menggesa mekanisme pelaporan yang tidak bersifat menghukum, sebaliknya memberi tumpuan kepada proses digital yang mudah, garis panduan jelas dan kerjasama erat dengan industri.
“Majikan komited untuk menjadi rakan strategik dalam memperkukuh sistem maklumat pasaran buruh negara. Namun, pematuhan mesti bersifat realistik, menyokong dan memudahkan, bukan menghukum,” katanya.
MEF menegaskan komitmen berterusan terhadap pembangunan ekosistem pasaran buruh yang mampan dan berdaya saing, sambil menggesa kerajaan menangani kebimbangan yang dibangkitkan demi menjamin integriti dasar, kepercayaan dan ketelusan. - Media Telus
Berita berkaitan
January 16, 2026, 12:59 pm
Shahril Hamdan tiada hasrat kembali ke barisan hadapan politik
January 16, 2026, 12:54 pm
UMNO junjung kasih Agong, mohon ihsan buat Najib Razak
January 16, 2026, 12:29 pm
UMNO tubuh jawatankuasa penyatuan ummah, buka pintu terima kembali bekas ahli
January 16, 2026, 11:28 am
Pertambahan ahli UMNO bukan jaminan kemenangan pilihan raya – Asyraf Wajdi
January 16, 2026, 11:25 am
Wanita maut dirempuh van Thailand langgar lampu merah di Jitra
January 16, 2026, 10:53 am
Mahkamah bebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tuduhan rasuah RM2.8 juta, tuduhan Zizie Izzete kekal
January 16, 2026, 10:46 am
DAP bukan masalah terbesar rakyat, fokus isu lebih relevan - DAP Melaka
January 16, 2026, 9:06 am
Ab Rauf sahkan PRN Melaka diadakan tahun ini
January 15, 2026, 6:15 pm
