TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Wanita maut dirempuh van Thailand langgar lampu merah di Jitra 

By
|
Kongsi
image

JITRA 16 Jan - Tindakan sebuah van dari Thailand yang didakwa melanggar lampu isyarat merah membawa padah apabila meragut nyawa seorang wanita muda dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Napoh, dekat sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, mangsa, Fatin Nursyafikah Haris Bawijad, 22, seorang pembantu kedai makan yang beralamat di Kampung Bukit Beruas, Mukim Binjal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah van Toyota Hiace bernombor pendaftaran Thailand dipandu lelaki berusia 60 tahun dari negara jiran dalam perjalanan dari Pantai Remis, Perak menuju ke Satun, Thailand.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, pemandu van tidak berhenti semasa lampu isyarat merah dan melanggar motosikal jenis Modenas yang datang dari simpang sebelah kiri.

“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra bagi tujuan bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu van yang gagal berhenti ketika lampu isyarat merah.

“Pemandu van terbabit yang tidak mengalami kecederaan telah ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Saringan awal urin ke atas lelaki itu didapati negatif dadah.

“Dia yang beralamat di Satun dan bekerja sebagai pemandu mempunyai lesen pas sempadan yang tamat pada 5 Julai 2026. Van berkenaan adalah milik adiknya,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa video kejadian tular di media sosial termasuk rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan memaparkan sebuah van dipandu laju sebelum melanggar lampu isyarat merah dan merempuh motosikal yang baru bergerak selepas lampu hijau menyala di laluannya.

Insiden itu turut mencetuskan kemarahan orang ramai yang mendakwa sering menyaksikan kenderaan dari Thailand serta kenderaan berat dipandu laju di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

+ - reset