Berita Berita
Mahkamah bebaskan Allahyarham Bung Moktar daripada tuduhan rasuah RM2.8 juta, tuduhan Zizie Izzete kekal
KUALA LUMPUR 16 Jan - Mahkamah Sesyen hari ini melepas dan membebaskan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada pertuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak berhasrat meneruskan prosiding terhadap bekas Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Allahyarham Bung Moktar yang juga bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA sebelum ini berdepan tiga pertuduhan rasuah berkaitan kelulusan agensi berkenaan untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bagaimanapun, pendakwaan menolak representasi yang dikemukakan balunya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, bagi menggugurkan tiga pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan rasuah berkenaan.
Sehubungan itu, kes terhadap Zizie Izette akan diteruskan dengan perbicaraan yang ditetapkan pada 5, 6 dan 12 Mac ini.
Pada prosiding hari ini, Hakim Rosli Ahmad membebaskan Bung Moktar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag selepas dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Law Chin Hou bahawa pendakwaan tidak berhasrat meneruskan kes berkenaan berikutan kematian tertuduh pada 5 Disember lalu.
Chin Hou berkata, pendakwaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap Bung Moktar selaku tertuduh pertama mengikut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah.
Susulan itu, Rosli melepas dan membebaskan bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu serta memerintahkan wang jaminan berjumlah RM100,000 dan pasport miliknya dikembalikan.
Pada prosiding terbabit, peguam Ashok Athimulan mewakili Bung Moktar manakala peguam Teh See Khoon bertindak bagi pihak Zizie Izette.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan wang tunai RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA bagi pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Dia didakwa menerima suapan itu daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui isterinya, Datin Seri Zizie Izette A Samad, serta melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya.
Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara jam 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015 dan jam 12.16 tengah hari pada 19 Jun tahun sama.
Bagi pertuduhan ketiga, Bung Moktar didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette di lokasi sama pada jam 12.28 tengah hari, 19 Jun 2015.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung kes sama di lokasi, tarikh dan masa yang serupa.
Berita berkaitan
January 16, 2026, 3:36 pm
UMNO sedia buka pintu seluas-luasnya tarik tokoh Melayu kembali ke parti
January 16, 2026, 3:17 pm
Padang Merbok dibuka semula kepada orang awam selepas hampir setahun ditutup
January 16, 2026, 3:03 pm
Siasatan dakwaan aktiviti tidak bermoral libatkan 21 pegawai TUDM selesai
January 16, 2026, 2:57 pm
Dua pelajar universiti swasta masih dirawat akibat letupan gas pendingin hawa
January 16, 2026, 12:59 pm
Shahril Hamdan tiada hasrat kembali ke barisan hadapan politik
January 16, 2026, 12:54 pm
UMNO junjung kasih Agong, mohon ihsan buat Najib Razak
January 16, 2026, 12:29 pm
UMNO tubuh jawatankuasa penyatuan ummah, buka pintu terima kembali bekas ahli
January 16, 2026, 11:28 am
Pertambahan ahli UMNO bukan jaminan kemenangan pilihan raya – Asyraf Wajdi
January 16, 2026, 11:25 am
