TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mayat bayi perempuan dalam plastik ditemui di lorong belakang pasar raya di Shah Alam

By
|
Kongsi
image


 

SHAH ALAM 21 Dis - Penemuan tragis menggemparkan suasana di sebuah pusat perniagaan di Seksyen 25, di sini, apabila seorang bayi perempuan ditemui tidak bernyawa di dalam plastik yang ditinggalkan di lorong belakang sebuah pasar raya, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Anak Embol berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada orang awam menerusi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Menurutnya, anggota polis yang menjalankan rondaan kemudiannya digerakkan ke lokasi kejadian bagi mengesahkan penemuan seorang bayi perempuan di dalam plastik.

“Petugas ambulans yang dihubungi turut mengesahkan bayi berkenaan telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Ramsay berkata, anggota pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dikerahkan ke lokasi untuk mengendalikan tempat kejadian serta mengumpul bukti dan barang kes bagi membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati bayi itu disyaki dilahirkan di lokasi lain sebelum dibuang di kawasan berkenaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan sebarang bukti dan mendapatkan keterangan daripada orang awam di sekitar kawasan kejadian,” katanya.

Menurut beliau, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Jabatan Patologi, Hospital Klang bagi menjalani proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-1755 4394 bagi membantu siasatan.

+ - reset