TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Makkal Sakti tiada niat ganti MIC dam BN, sedia bekerjasama demi masyarakat India

By
|
Kongsi
image

BUTTERWORTH 21 Dis - Parti Makkal Sakti menegaskan tidak pernah berhasrat untuk menggantikan kedudukan MIC dalam Barisan Nasional (BN), sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan parti itu demi pembangunan dan kesejahteraan masyarakat India di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri RS Thanenthiran, berkata parti yang berusia 17 tahun itu juga tidak akan mengambil kesempatan terhadap sebarang pergolakan dalaman antara MIC dan BN dengan menawarkan Makkal Sakti sebagai alternatif kepada masyarakat India.

Menurut beliau, perjuangan MIC yang telah melebihi tujuh dekad dalam membela nasib kaum India wajar dihormati dan tidak boleh dipandang ringan.

“Perjuangan MIC membela masyarakat India di negara ini sudah melebihi 70 tahun dan ia perlu dihormati. Kami tidak akan sesekali menentang MIC, itu prinsip kami.

“Makkal Sakti bukan alternatif kepada MIC. Kami bekerjasama dengan MIC untuk memperkukuh suara bersama demi kesejahteraan masyarakat India di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Agung Tahunan Parti Makkal Sakti ke-17 di sini, pada Ahad.

Terdahulu, perhimpunan itu dirasmikan Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dan turut dihadiri Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Dalam pada itu, Thanenthiran berkata hubungan beliau dengan MIC serta Presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran, sangat rapat dan diibaratkan seperti hubungan adik-beradik.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata setakat ini belum ada keputusan muktamad dibuat berhubung kedudukan MIC dalam BN, meskipun tular salinan surat berkaitan permohonan semula parti itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).

Pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79, November lalu, MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada akan keluar atau kekal dalam BN. Bagaimanapun, Vigneswaran memaklumkan bahawa ketiga-tiga usul termasuk cadangan untuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada kepimpinan parti untuk pertimbangan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Thanenthiran dalam ucapan dasarnya turut meminta agar Pelan Tindakan Masyarakat India yang dilancarkan pada 2017 diberi perhatian serius dan dilaksanakan secara menyeluruh.

+ - reset