TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Geng mat rempit pakat langgar lampu isyarat hingga akibatkan kemalangan dengan 4WD

By
|
Kongsi
image

 

LAHAD DATU 25 Dis – Tindakan berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan aktiviti lumba haram, termasuk melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan, akhirnya membawa padah apabila salah seorang daripada mereka ditahan polis susulan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.

Suspek lelaki berusia 21 tahun itu berjaya dikesan sebelum ditahan di kediamannya di Felda Sahabat, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, rakaman kejadian berkenaan mula tular kira-kira jam 3.50 pagi Ahad lalu dan memaparkan sekumpulan penunggang motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Salah seorang penunggang motosikal dilihat melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di laluan menuju ke Lapangan Terbang Lahad Datu.

“Tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, hasil maklumat awam dan tindakan pantas Unit Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, suspek berjaya dikesan dan ditahan kira-kira jam 4.15 petang Selasa lalu.

Suspek kemudian dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam pada itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu.

Dzulbaharin turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram.

“Pengguna jalan raya, khususnya golongan belia, diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan menjauhi aktiviti ‘mat rempit’ serta samseng jalanan.

“Di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000,” tegasnya.

 

+ - reset