Berita Berita
SPRM dah panggil 3 individu, siasat dakwaan rasuah perolehan projek tentera
KUALA LUMPUR 25 Dis - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiatkan siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam perolehan projek tentera apabila memanggil tiga individu bagi merakamkan keterangan, semalam.
Menurut sumber, ketiga-tiga individu berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan yang bermula sejak 23 Disember lalu, termasuk penelitian terhadap beberapa akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan amalan rasuah melibatkan projek ketenteraan.
“Semalam, SPRM memanggil tiga individu untuk merakamkan keterangan dan siasatan awal mendapati bahawa dari 2023 hingga 2025, terdapat 158 projek perolehan tentera bernilai lebih RM500,000, manakala sebanyak 4,521 projek lagi bernilai di bawah RM500,000.
“Pemeriksaan awal ke atas semua projek ini mendapati beberapa syarikat kerap memperoleh projek bernilai tinggi, yang dilihat agak meragukan.
“Bagaimanapun, semakan terperinci terhadap pemprofilan syarikat-syarikat yang dianugerahkan kontrak berkenaan masih belum dijalankan,” kata sumber itu.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut menerima satu aduan dan merakamkan keterangan Ketua BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada tengah hari semalam bagi menyalurkan maklumat berkaitan dakwaan perolehan projek ketenteraan.
Aktivis itu mendakwa terdapat ‘aliran tunai besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Chegubard, dengan merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya secara tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun banknya.
Dokumen berkenaan, menurutnya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit, ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai tersebut.
Beliau juga mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan.
Susulan dakwaan berkenaan, SPRM pada Selasa mengunjungi ibu pejabat Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek tentera bermula 2023, dengan fokus kepada projek melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah pusat tanggungjawab tentera.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan menegaskan semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Berita berkaitan
January 17, 2026, 11:37 am
Lelaki maut ditembak di hadapan premis cuci kenderaan di Nibong Tebal
January 17, 2026, 11:31 am
Kehilangan Nadia Kesuma diklasifikasi sebagai orang hilang
January 17, 2026, 11:24 am
Ibu dan anak maut kemalangan motosikal di Lebuhraya Seremban–Port Dickson
January 17, 2026, 11:19 am
PGA Sabah tahan 23 individu, rampas vape dan e-liquid bernilai lebih RM635,000
January 17, 2026, 11:14 am
Bekas wartawan FMT ditahan polis susulan soalan kontroversi dalam wacana awam
January 16, 2026, 8:43 pm
Perbelanjaan SARA hampir 100 peratus, bukti keberkesanan bantuan
January 16, 2026, 8:35 pm
28 Pati sanggup berhimpit dua hari dalam ruang simpanan ikan elak dicekup Maritim
January 16, 2026, 8:35 pm
MINDEF patuh arahan PM bekukan sementara perolehan ATM berkait isu rasuah
January 16, 2026, 7:29 pm
Tiada pemilihan UMNO tahun ini, ditangguh sehingga selepas PRU16 – Ahmad Zahid
January 16, 2026, 5:29 pm
