Berita Berita
Anak Najib sedih keputusan 1MDB, anggap hukuman bapa di luar jangkaan
KUALA LUMPUR 29 Dis - Keputusan mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diputuskan Jumaat lalu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar Razak meluahkan rasa sedih, pilu dan dukacita, sambil menyifatkan keputusan berkenaan sebagai sesuatu yang di luar jangkaan keluarganya.
Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para penyokong bapanya serta rakyat Malaysia yang terus mendoakan kesejahteraan Najib dan keluarga.
“Saya mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua penyokong ayahanda Najib Razak dan rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan yang baik-baik untuk ayahanda saya.
“Terima kasih yang tidak terhingga, hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas jasa tuan puan semua,” katanya dalam video berdurasi dua minit 10 saat yang dimuat naik di Facebook.
Bekas Presiden UMNO itu didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan berkenaan disampaikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.
Mengulas lanjut keputusan itu, Mohamad Nizar berkata keluarganya amat terkesan dengan hukuman tambahan 15 tahun penjara serta denda mencecah lebih RM11 bilion yang dikenakan terhadap bapanya, yang disifatkan amat mengecewakan.
“Sebagai reaksi kepada keputusan yang dibacakan oleh hakim, kami sekeluarga amat sedih, pilu dan dukacita. Keputusan itu benar-benar di luar fikiran dan jangkaan kami,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa keputusan demi keputusan yang dibuat sebelum ini hanya menambah kekecewaan, seolah-olah tiada ruang mencukupi diberikan kepada pihak pembelaan.
“Hakikatnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kerajaan sendiri pernah mendapatkan pengesahan bahawa derma diterima ayahanda daripada Kerajaan Arab Saudi dan siasatan itu memuaskan.
“Namun di mahkamah, ‘hearsay dan double hearsay’ pula dijadikan sandaran. Kami sekeluarga kecewa tetapi tidak akan berundur.
“Perjuangan menuntut keadilan buat ayahanda akan diteruskan. Mohon doa sahabat semua agar kebenaran akhirnya menang,” katanya.
Mohamad Nizar turut menegaskan jasa serta sumbangan Najib kepada negara sepanjang tempoh pentadbirannya wajar diambil kira, selain mempersoalkan ketiadaan individu yang didakwa sebagai dalang utama dalam kes berkenaan.
“Lebih mengecewakan apabila dalang utama kes ini, Jho Low, masih belum ditemui dan mereka yang bersubahat serta bersekongkol dengannya pula dijadikan saksi,” katanya.
Menurut beliau, keputusan berkenaan mencerminkan ujian dan dilema besar yang terpaksa dihadapi bapanya sepanjang hayat.
“Bayangkan hukuman sebegini dijatuhkan. Saya fikir ini ujian yang amat berat buat ayahanda.
“Kami akan terus bersabar dan tabah menghadapi ketentuan Ilahi serta tidak akan berputus asa memperjuangkan keadilan buat ayahanda.
“Kami adik-beradik tidak akan berhenti menuntut bela dan akan terus memberi bantuan kepada beliau. Semoga ayahanda tabah menghadapi episod sedih ini,” katanya.
Berita berkaitan
January 18, 2026, 6:08 am
Tanda tanya terjawab, Nadia Kesuma meninggal dunia di Jeddah akibat sakit jantung
January 17, 2026, 11:37 am
Lelaki maut ditembak di hadapan premis cuci kenderaan di Nibong Tebal
January 17, 2026, 11:31 am
Kehilangan Nadia Kesuma diklasifikasi sebagai orang hilang
January 17, 2026, 11:24 am
Ibu dan anak maut kemalangan motosikal di Lebuhraya Seremban–Port Dickson
January 17, 2026, 11:19 am
PGA Sabah tahan 23 individu, rampas vape dan e-liquid bernilai lebih RM635,000
January 17, 2026, 11:14 am
Bekas wartawan FMT ditahan polis susulan soalan kontroversi dalam wacana awam
January 16, 2026, 8:43 pm
Perbelanjaan SARA hampir 100 peratus, bukti keberkesanan bantuan
January 16, 2026, 8:35 pm
28 Pati sanggup berhimpit dua hari dalam ruang simpanan ikan elak dicekup Maritim
January 16, 2026, 8:35 pm
MINDEF patuh arahan PM bekukan sementara perolehan ATM berkait isu rasuah
January 16, 2026, 7:29 pm
