TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Najib fail rayuan keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 29 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan semakan kehakiman berhubung Titah Adendum yang didakwa membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan notis rayuan berkaitan perkara itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan pada 24 Disember lalu.

Menurut beliau, rayuan bagi kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sedang dihadapi Najib pula akan difailkan dalam masa terdekat selepas pihak pembelaan menerima perintah rasmi mahkamah bagi tujuan pengesahan.

Pada 22 Disember lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan semakan kehakiman berkenaan selepas mendapati Titah Adendum itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang berlangsung pada 29 Januari 2024.

Berikutan keputusan tersebut, Najib yang kini berusia 72 tahun perlu meneruskan baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu mula menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, keputusan yang kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, petisyen pengampunan diraja yang dikemukakan pada 2 September 2022 menyaksikan Lembaga Pengampunan memendekkan tempoh hukuman penjara beliau kepada enam tahun serta mengurangkan jumlah denda kepada RM50 juta.

Dalam perkembangan berkaitan, pada 26 Disember lalu Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion terhadap Najib selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan, mengarahkan hukuman berkenaan berkuat kuasa selepas Najib selesai menjalani tempoh pemenjaraan enam tahun bagi kes SRC International, yang dijadual berakhir pada 23 Ogos 2028.

+ - reset