TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bekas menteri dirakam keterangan SPRM disyaki terima rasuah RM5 juta, Lamborghini

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 29 Dis – Seorang bekas menteri dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah berupa wang tunai kira-kira RM5 juta serta sebuah kereta mewah Lamborghini, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan projek papan iklan dan pemindahan tanah di ibu negara.

Menurut sumber, maklumat awal SPRM mendapati wang berkenaan dipercayai diterima daripada sebuah syarikat pemaju, manakala kereta mewah itu didakwa disumbangkan oleh sebuah syarikat pembuat papan iklan.

“Bekas menteri terbabit hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi proses rakaman keterangan. Siasatan kini berada pada peringkat mengesan punca pembayaran serta pemilikan kereta mewah berkenaan,” katanya pada Isnin.

Sumber sama memaklumkan, bagi kes melibatkan tanah, siasatan awal mendapati beberapa lot tanah yang sebelum ini digazetkan bagi pembinaan surau dipercayai telah dipindah milik kepada sebuah syarikat proksi.

“SPRM sedang meneliti proses serta kelulusan pemindahan tanah berkenaan bagi mengenal pasti sebarang unsur salah guna kuasa atau penerimaan suapan,” katanya.

Setakat ini, seramai 16 saksi terdiri daripada kakitangan kerajaan serta pemilik syarikat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan terhadap kedua-dua kes tersebut.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka membabitkan bekas menteri berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berkaitan kesalahan menerima suapan.

“Buat masa ini, tiada sebarang sitaan aset atau pembekuan akaun dilakukan,” katanya ringkas.

+ - reset