TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kerajaan Perpaduan kekal utuh, gesaan hidupkan semula MN belum serius - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

PETALING JAYA 2 Jan - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan landskap politik negara kekal stabil apabila Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya masih utuh, sekali gus menyifatkan gesaan segelintir pemimpin supaya Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula sebagai belum berada pada tahap serius.

Perdana Menteri berkata, semua parti yang bernaung di bawah Kerajaan Perpaduan telah memberikan komitmen untuk menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi serta pembelaan nasib rakyat sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

"(Gesaan kembalikan MN) itu belum serius. Saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan (parti) masing-masing.

"Tapi yang penting, sekarang Kerajaan Perpaduan masih utuh," katanya ditemui media selepas solat Jumaat di Masjid Jumhuriah Petaling Jaya di sini, hari ini.

Terdahulu sebelum menunaikan solat Jumaat, Anwar meluangkan masa kira-kira 25 minit menikmati makan tengah hari bersama penduduk setempat di sebuah kedai makan di kawasan berkenaan.

Mengulas mengenai kemelut dalaman membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS yang mula mencetuskan reaksi dalam kalangan parti tertentu dalam Kerajaan Perpaduan khususnya UMNO, Anwar menegaskan situasi itu tidak memberi sebarang kesan kepada kestabilan kerajaan diterajuinya.

"Soal idaman dan igauan (parti pembangkang ini), soal dia bercerai berai itu bukanlah masalah saya.

"Itu masalah mereka, (saya) tak campur. Itu masalah PAS dan BERSATU cerai berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan," katanya.

Susulan kemelut dalaman antara BERSATU dan PAS baru-baru ini, muncul gesaan daripada segelintir pemimpin UMNO dan PAS supaya gagasan MN yang sebelum ini diterajui kedua-dua parti itu dihidupkan kembali.

Bagaimanapun, setakat ini gesaan berkenaan hanya disuarakan oleh pemimpin tertentu dan belum diputuskan atau menjadi ketetapan rasmi sama ada oleh UMNO mahupun PAS.

 

+ - reset