Berita Berita
KLIA1 naik taraf lebih 60 mesin pengimbas dengan teknologi AI bantu kesan dadah, haiwan hidup
SEPANG 2 Jan - Kawalan keselamatan dan pengesanan barangan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA T1) diperkukuh apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menaik taraf lebih 60 mesin pengimbas dengan teknologi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI), berkuat kuasa semalam.
Mesin pengimbas yang ditempatkan di balai berlepas itu ditambah baik sepenuhnya, termasuk pemantapan sumber manusia, bagi membantu pengesanan barangan larangan khususnya dadah dan haiwan hidup.
Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, penambahbaikan berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan kecekapan operasi di lapangan terbang, khususnya dari aspek pengurusan dan kelancaran aliran penumpang di kawasan pintu pelepasan.
Beliau berkata, langkah itu juga selaras dengan peningkatan trafik penumpang antarabangsa serta keperluan keselamatan semasa, selain menyokong usaha kerajaan menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Pada mulanya sebanyak tujuh mesin pengimbas ditempatkan di balai berlepas melalui sumbangan Bank Negara Malaysia pada Februari 2011 bagi menyokong pengesanan berkaitan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
“Dalam pelaksanaan itu, ia dimanfaatkan oleh JKDM bagi membantu pengesanan barangan larangan termasuk dadah, selaras dengan keperluan keselamatan dan penguatkuasaan semasa.
“Kemudian, Perdana Menteri pada 2023 mendapati hanya satu mesin pengimbas berada dalam keadaan berfungsi dan sejurus saya melapor diri sebagai Ketua Pengarah Kastam, saya turut menerima maklum balas daripada pihak Kastam Korea berkaitan kes penyeludupan dadah yang dikesan di negara mereka.
“Susulan itu, tindakan segera diarahkan bagi memperkukuh kawalan dan pendekatan pengesanan di pintu pelepasan, termasuklah penambahan lima mesin pengimbas baharu yang berkeupayaan teknologi tinggi bagi menggantikan mesin pengimbas sedia ada pada Disember 2023,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata penyertaan 33 pegawai keselamatan penerbangan dalam kursus latihan pengecaman imej imbasan barangan terlarang turut meningkatkan tahap keselamatan di KLIA Terminal 1.
Katanya, pendekatan pengimbasan dan pemantauan kini diperkasakan menerusi penilaian risiko, risikan serta analisis trend secara bersepadu melibatkan JKDM dan Bahagian Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
“Ia membuahkan hasil yang positif, di mana kes penyeludupan dadah menunjukkan penurunan yang ketara dari Disember 2023 hingga Disember 2025, dan JKDM turut menerima surat penghargaan daripada Kastam Korea atas keberkesanan langkah-langkah yang diambil,” katanya.
Beliau berkata, bagi mengoptimumkan aliran pergerakan trafik penumpang di lapangan terbang, proses pengimbasan keselamatan di pintu pelepasan Terminal 1 KLIA kini hanya dilaksanakan oleh AVSEC bermula semalam.
“Ia selaras dengan piawaian keselamatan penerbangan awam dan sekiranya hasil pengimbasan atau pemeriksaan keselamatan mengesan sebarang unsur mencurigakan termasuk membabitkan dadah, mata wang tunai, hidupan liar, instrumen boleh niaga atau barangan larangan lain, penumpang serta barangan berkenaan akan diserahkan kepada JKDM dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Menurutnya, penambahbaikan berkenaan bukan sahaja meningkatkan tahap keselamatan dan pematuhan undang-undang, malah turut memastikan aliran pergerakan penumpang yang lebih lancar dan teratur.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi KLIA Terminal 1, Abd Hasman Abd Muhimin berkata, pemindahan proses saringan di balai pelepasan membolehkan pengurangan masa pemeriksaan penumpang.
“Waktu puncak di Terminal 1 berlaku dua kali sehari, iaitu pada waktu pagi antara jam 7 pagi hingga 8.30 pagi dan pada 8 malam hingga 9 malam,” katanya.
Berita berkaitan
January 17, 2026, 11:37 am
Lelaki maut ditembak di hadapan premis cuci kenderaan di Nibong Tebal
January 17, 2026, 11:31 am
Kehilangan Nadia Kesuma diklasifikasi sebagai orang hilang
January 17, 2026, 11:24 am
Ibu dan anak maut kemalangan motosikal di Lebuhraya Seremban–Port Dickson
January 17, 2026, 11:19 am
PGA Sabah tahan 23 individu, rampas vape dan e-liquid bernilai lebih RM635,000
January 17, 2026, 11:14 am
Bekas wartawan FMT ditahan polis susulan soalan kontroversi dalam wacana awam
January 16, 2026, 8:43 pm
Perbelanjaan SARA hampir 100 peratus, bukti keberkesanan bantuan
January 16, 2026, 8:35 pm
28 Pati sanggup berhimpit dua hari dalam ruang simpanan ikan elak dicekup Maritim
January 16, 2026, 8:35 pm
MINDEF patuh arahan PM bekukan sementara perolehan ATM berkait isu rasuah
January 16, 2026, 7:29 pm
Tiada pemilihan UMNO tahun ini, ditangguh sehingga selepas PRU16 – Ahmad Zahid
January 16, 2026, 5:29 pm
