TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia catat rekod perdagangan RM3 trilion buat kali pertama - Anwar

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 20 Jan - Malaysia mencatat rekod tertinggi dalam sejarah apabila jumlah perdagangan negara mencecah RM3 trilion bagi tahun 2025, lapor Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pencapaian trend perdagangan positif dan nilai tertinggi itu merupakan hasil daripada usaha mengekalkan hubungan perdagangan yang baik dengan rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China, selain berjaya meneroka pasaran baru untuk memperluas akses dagangan Malaysia. 

“Sejarah tercipta, dengan jumlah perdagangan untuk 2025 mencecah RM3 trilion buat kali pertama. Itu sebab saya rumuskan perlunya penjelasan dasar, disiplin dan tatakelola yang baik serta menerobos pasaran baharu,” katanya semasa menjawab soalan mengenai langkah kerajaan menghadapi ketegangan perdagangan global. 

Anwar memaklumkan, maklumat terperinci mengenai kejayaan itu akan diumumkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tengah hari ini. 

Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia bersikap realistik dengan perubahan geopolitik global yang boleh menjejaskan peraturan perdagangan serta pelaburan negara, di mana tindakan proaktif diteruskan untuk meneroka bidang dan pasaran baharu termasuk teknologi terkini. 

Selain itu, Anwar turut memaklumkan prestasi ekonomi lain bagi 2025 yang dijangka mengatasi unjuran awal kerajaan antara 4 hingga 4.8 peratus, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan 4.9 peratus, ringgit mencapai paras tertinggi dalam lima tahun, dan indeks Bursa Malaysia mencecah paras tertinggi dalam tujuh tahun. 

Beliau menekankan bahawa kejayaan dagangan ini turut dipacu oleh kestabilan politik, kejelasan dasar kerajaan serta kerjasama erat di kalangan sektor perkhidmatan awam, peniaga dan pelabur, selain pelaksanaan dasar fiskal dan rasionalisasi subsidi yang menyokong pertumbuhan ekonomi. 

 

+ - reset