TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

JPN Melaka terima 71 permohonan pindaan status bangsa Baba Nyonya

By
|
Kongsi
image

MELAKA 20 Jan - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Melaka menerima kira-kira 71 permohonan berkaitan pindaan status bangsa kepada Baba Nyonya pada kad pengenalan setakat ini.

Pengarah Pendaftaran Negeri Melaka, Mohd Dzulkarnain Baharuddin berkata, daripada jumlah tersebut, 22 permohonan telah diluluskan manakala selebihnya masih dalam proses semakan.

Menurut beliau, JPN Melaka turut bekerjasama dengan Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia Melaka dalam mengendalikan pembetulan maklumat keturunan Baba Nyonya pada daftar kelahiran.

“Proses penelitian melibatkan semakan dokumen sokongan yang menyeluruh termasuk bukti kukuh serta surat rujukan daripada persatuan berkaitan bagi memastikan setiap permohonan memenuhi syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Pengarah JPN Melaka sempena Tahun Baharu 2026 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Dzulkarnain berkata, hampir kesemua permohonan yang diterima setakat ini melibatkan pemohon dari Melaka, selaras dengan sejarah serta latar belakang komuniti Baba Nyonya yang ramai menetap di negeri berkenaan.

Katanya, bermula 1 Januari 2026, permohonan pindaan keturunan kepada Baba Nyonya boleh dibuat di Melaka walaupun permohonan tersebut diterima di mana-mana pejabat JPN di seluruh negara.

“Bagaimanapun, kami menggalakkan pemohon untuk mengemukakan permohonan di Melaka kerana usaha ini bermula di negeri ini melalui Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia yang berpengkalan di Melaka,” katanya.

Menurutnya, JPN Melaka komited memastikan setiap permohonan diproses secara telus dan adil bagi memelihara ketepatan rekod rasmi serta warisan komuniti Baba Nyonya di negara ini.

+ - reset