Berita Berita
Anwar minta rakyat henti bertelingkah isu bahasa, beri fokus masa depan anak negara
KUALA LUMPUR 23 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat Malaysia menghentikan pertelingkahan berpanjangan antara kaum berkaitan isu bahasa, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membina masa depan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bersatu padu.
Beliau menegaskan pendekatan pendidikan pelbagai bahasa yang dilaksanakan kerajaan tidak menafikan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, malah bertujuan memperkukuh perpaduan nasional serta memastikan peluang pendidikan yang saksama kepada semua murid.
Menurut Anwar, penguasaan lebih daripada satu bahasa merupakan kelebihan penting dalam menghadapi cabaran global dan meningkatkan daya saing generasi muda tanpa menjejaskan asas identiti nasional.
“Kita tidak mahu lagi pertelingkahan antara kaum yang tidak berkesudahan dalam soal bahasa. Keutamaan kita adalah meningkatkan mutu kehidupan dan menjamin masa depan anak-anak kita.
“Mereka perlu bersedia untuk bersaing bagi mendapatkan pekerjaan bukan sahaja dalam negara, malah di rantau Asia dan di peringkat global. Sebab itu penguasaan bahasa, sains, matematik, digital dan kecerdasan buatan (AI) perlu diterapkan sejak peringkat awal persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra bersama masyarakat Tionghua di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Perting, di sini, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Anwar berkata usaha meningkatkan kualiti pendidikan perlu dilihat sebagai agenda nasional yang melangkaui perbezaan kaum, dengan penekanan kepada penambahbaikan prasarana sekolah, latihan guru serta penyediaan kemudahan mencukupi.
Beliau turut menegaskan sebarang perbezaan pandangan berkaitan pendidikan wajar dibincangkan secara matang, namun fokus utama tidak seharusnya terpesong daripada matlamat menjadikan pendidikan sebagai medium penyatuan dan pemacu kemajuan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM13.5 juta bagi pelaksanaan projek penambahbaikan serta penyediaan kemudahan tambahan di SJKC Perting.
Menurut beliau, RM300,000 daripada jumlah itu diluluskan segera bagi membolehkan kerja awal dimulakan.
Beliau berkata peruntukan tersebut disalurkan sebagai sebahagian persediaan kemasukan murid prasekolah berumur lima tahun dan murid Tahun Satu berumur enam tahun secara sukarela bermula tahun depan.
“Saya berharap semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat setempat terus memberikan sokongan agar sekolah ini dapat menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” katanya.
Untuk rekod, peruntukan berkenaan melibatkan pembinaan sebuah bangunan tambahan enam bilik darjah bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) serta satu bilik darjah Prasekolah Integrasi di SJKC Perting.
Berita berkaitan
January 23, 2026, 8:45 pm
Mohamed Shamir dilantik Ketua Eksekutif baharu HRD Corp berkuat kuasa hari ini
January 23, 2026, 7:38 pm
Hati-hati, 10 ajaran sesat dikenal pasti bergerak aktif di Malaysia - JAKIM
January 23, 2026, 5:17 pm
'Saya akan bincang dengan Amirudin' - Anwar cadang projek ternakan babi Bukit Tagar dibatalkan
January 23, 2026, 2:54 pm
PTPTN kerjasama laksana pendidikan percuma kepada 10,000 pelajar miskin tegar
January 23, 2026, 2:45 pm
Polis kesan pemandu Perodua Axia terlibat kemalangan di LPT Maran
January 23, 2026, 1:52 pm
Atlet Olimpik saman kerajaan Selangor, MBPJ cabar larangan pelihara anjing di pangsapuri
January 23, 2026, 1:41 pm
Kolam najis ladang babi bocor punca Sungai Penyalai di Tangkak tercemar
January 23, 2026, 1:32 pm
Pemandu mabuk rempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara
January 23, 2026, 1:28 pm
Bekas panglima tentera tegaskan kes tidak jejas reputasi ATM
January 23, 2026, 1:21 pm
