TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah Tinggi benarkan kerajaan tangguh bayaran pampasan kes Pastor Raymond Koh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jan - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin membenarkan kerajaan Malaysia dan 12 pihak lain menangguhkan bayaran pampasan melebihi RM31 juta kepada Pastor Raymond Koh dan isterinya, Susanna Liew Sow Yoke, berhubung dakwaan penglibatan kerajaan dalam kes penculikan beliau sembilan tahun lalu.

Hakim Mahazan Mat Taib turut membenarkan penangguhan bayaran ganti rugi RM10,000 sehari bermula 13 Februari 2017, iaitu tarikh kehilangan Raymond, sehingga beliau ditemui atau sehingga tarikh penghakiman.

Mahazan berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah berpuas hati bahawa kerajaan dan 12 defendan lain berjaya menunjukkan wujud keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan bayaran ganti rugi diluluskan.

“Mahkamah berpendapat penolakan permohonan penangguhan ini akan menimbulkan implikasi serius terhadap pengurusan dana awam,” katanya.

Raymond, yang lebih dikenali sebagai Pastor Koh, dilaporkan diculik ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, selepas keluar dari rumahnya untuk menuju ke kediaman seorang rakan. Sehingga kini, beliau masih belum ditemui dan telah hilang lebih 3,000 hari.

Semasa perbicaraan, mahkamah dimaklumkan bahawa lima lelaki bertopeng berpakaian seragam hitam menyerupai anggota tentera didakwa menarik Raymond keluar dari kenderaannya.

Susanna Liew sebelum ini memfailkan saman terhadap kerajaan dan polis berhubung dakwaan penglibatan pihak berkuasa dalam kehilangan suaminya serta kelemahan siasatan kes berkenaan.

Pada 24 September 2024, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan dakwaan bahawa Laporan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat kehilangan Raymond dan diserahkan kepada keluarga serta peguam telah diubah.

KDN menjelaskan laporan itu merupakan dokumen milik kerajaan yang tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Arahan Keselamatan (Semakan dan Pindaan 2017).

Pada 2019, kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes kehilangan Raymond pada 2017 serta aktivis sosial, Amri Che Mat, yang hilang pada 2016.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut memerintahkan kerajaan dan pihak polis membayar ganti rugi melebihi RM3 juta kepada isteri Amri, Noorhayati Mohd Ariffin, melibatkan ganti rugi am dan teruk RM2 juta, ganti rugi teladan RM1 juta serta ganti rugi khas RM14,457.52.

Pada 5 November 2025, Mahkamah Tinggi turut memerintahkan pampasan berkenaan dibayar kepada Raymond yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan Harapan Komuniti, selepas membenarkan saman yang difailkan beliau dan isterinya.

+ - reset