TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pencemaran Sungai Johor kembali berulang, air bertukar hitam di Kampung Orang Asli Sayong Pinang

By
|
Kongsi
image

KOTA TINGGI 26 Jan - Isu pencemaran Sungai Johor kembali menghantui penduduk apabila kejadian serupa dikesan semalam, tidak sampai empat bulan selepas insiden terdahulu dilaporkan.

Pencemaran itu disedari sekitar tengah hari apabila air sungai di kawasan jeti Kampung Orang Asli Sayong Pinang didapati bertukar warna hitam, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Ketua Jaringan Perikanan Nelayan Darat Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Azman Inam berkata, perubahan mendadak warna air sungai itu menimbulkan keresahan khususnya kepada nelayan darat di kawasan berkenaan.

“Perubahan warna air sungai berlaku secara tiba-tiba dan dipercayai berpunca daripada aktiviti kilang. Sampai bila perkara seperti ini mahu dibiarkan berlarutan?

“Sungai Johor sangat penting kepada rakyat Johor, bukan sahaja sebagai sumber air mentah, malah untuk kelangsungan hidup nelayan dan komuniti setempat,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Azman, setakat ini nelayan darat masih belum terjejas kerana tiada laporan kematian ikan diterima.

Bagaimanapun, beliau bimbang keadaan itu boleh berubah sekiranya pencemaran berterusan tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Azman menggesa pihak berwajib mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kejadian sama tidak terus berulang dan menjejaskan kesejahteraan penduduk.

Terdahulu, pada Oktober tahun lalu, media melaporkan kejadian air di sepanjang Ulu Sungai Johor bertukar warna putih seakan susu dipercayai akibat pencemaran.

Insiden berkenaan berlaku apabila kolam cucian pasir pecah di Ulu Sungai Johor berhampiran Kampung Orang Asli Sayong Pinang.

Pencemaran itu turut menjejaskan aktiviti kira-kira 150 nelayan di sepanjang Ulu Sungai Johor serta memberi kesan kepada lebih 1.8 juta penduduk, melibatkan lebih 455,757 pengguna akaun air di empat daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kota Tinggi.

+ - reset