TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia - AS perkukuh hubungan strategik lebih menyeluruh - Duta AS

By
|
Kongsi
image

 

KUCHING 26 Jan – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) terus diperkasa ke arah kerjasama strategik yang lebih menyeluruh, merangkumi pelbagai sektor berimpak tinggi kepada pembangunan negara.

Menurut laporan Berita Harian, Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D Kagan berkata, perkara itu dizahirkan susulan pertemuannya dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg serta Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Pertemuan itu menumpukan kepada peluang kerjasama dalam pendidikan, teknologi, tenaga, dan bidang yang dilihat berpotensi memberi kesan besar kepada pembangunan nasional.

"Usaha ini menunjukkan transformasi hubungan dua hala di bawah pentadbiran terkini yang memberi manfaat bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi kepada Malaysia secara keseluruhan.

"Kami membincangkan cara memperkukuh kerjasama dalam pendidikan dan teknologi, serta memanfaatkan potensi tenaga Malaysia untuk pembangunan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.

Kagan menegaskan Sarawak, dengan kekayaan sumber tenaga, air serta bakat manusia yang berkualiti, menjadi contoh terbaik bagaimana negeri-negeri di Malaysia berpotensi menarik pelaburan asing.

Beliau turut menyorot kerjasama lebih luas Malaysia-AS termasuk usaha penyelesaian konflik serantau dan inisiatif strategik di peringkat ASEAN.

Menurutnya, hubungan Malaysia-AS kini melangkaui diplomasi formal semata-mata, sebaliknya menumpukan kepada pembangunan modal insan, inovasi teknologi dan pelaburan ekonomi sebagai teras utama.

Pendekatan itu, katanya, membuka lebih banyak peluang kepada syarikat AS untuk melabur di Malaysia, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi serta pengurusan data.

Lawatan Kagan ke Sarawak turut merangkumi kunjungan ke American Corner dan Tun Jugah Foundation yang menekankan kepentingan pendidikan, budaya serta pembangunan bakat sebagai komponen penting dalam kerjasama dua hala.

Selain itu, pengalaman beliau dan keluarga di Sarawak, termasuk lawatan ke Taman Negara Bako, Semenggoh dan Mulu, turut mencerminkan potensi Sarawak sebagai destinasi pelaburan dan pendidikan yang menarik.

"Dengan kerjasama yang lebih berkesan, kedua-dua negara dapat mencapai matlamat bersama, meningkatkan peluang ekonomi, dan menyumbang kepada keamanan serta kemakmuran serantau," kata Kagan.

Lawatan tersebut menandakan pengiktirafan terhadap kepimpinan negeri Sarawak serta usaha Malaysia secara keseluruhan dalam memperkukuh hubungan strategik dengan AS, sambil membuka peluang baharu dalam bidang pendidikan, teknologi, tenaga dan pelaburan demi manfaat nasional.

 

+ - reset