TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

'Kenyataan yang tidak bertanggungjawab' - Exco Selangor tegur orang awam label kuil, tokong 'haram'

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jan - Mana-mana pihak termasuk orang awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan supaya tidak menggunakan istilah seperti ‘kuil haram’, ‘tokong haram’ atau sebarang label seumpamanya ketika merujuk kepada tempat ibadat di Selangor.

Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Papparaidu Veraman menegaskan, tempat ibadat bukan sekadar struktur fizikal, sebaliknya institusi yang mempunyai nilai keagamaan, sejarah serta makna mendalam kepada penganutnya.

Menurutnya, penggunaan istilah berunsur menghukum, merendahkan atau melabel secara negatif adalah tidak wajar, tidak menghormati sensitiviti agama serta berpotensi mencetuskan salah faham dan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk.

“Sebagai sebuah negeri yang dihuni rakyat berbilang kaum dan agama, keharmonian sosial merupakan asas kepada kestabilan serta kemajuan Selangor.

“Kenyataan atau label yang tidak bertanggungjawab, khususnya di media sosial, boleh mengeruhkan keadaan, membentuk persepsi salah dan menjejaskan hubungan antara komuniti yang sekian lama hidup dalam suasana aman dan saling menghormati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sebarang isu berkaitan status, kedudukan atau urusan pentadbiran tempat ibadat berada di bawah bidang kuasa kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan, termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Daerah serta agensi teknikal.

Papparaidu yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) berkata, setiap perkara diteliti berdasarkan peruntukan undang-undang, dasar semasa serta pertimbangan sosial setempat.

Menurutnya, campur tangan pihak ketiga melalui spekulasi, tekanan terbuka atau pelabelan mengelirukan bukan sahaja tidak membantu, malah boleh menyukarkan proses penyelesaian yang sedang diusahakan secara teratur.

“Kebanyakan kes melibatkan tempat ibadat mempunyai latar sejarah yang panjang dan kompleks, merangkumi pelbagai faktor termasuk pembangunan setempat, pertumbuhan komuniti serta isu pentadbiran tanah yang memerlukan penelitian menyeluruh.

“Oleh itu, pendekatan berasaskan dialog, keadilan, toleransi dan penyelesaian secara harmoni perlu diutamakan, bukannya didorong sentimen atau emosi,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk mengurus dan menyelesaikan isu berkenaan secara berhemah, profesional serta berpandukan undang-undang.

Pada masa sama, orang awam dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, komen atau perkongsian di media sosial bagi mengelakkan ketidaktenteraman awam serta menjaga sensitiviti agama semua pihak.

 

+ - reset