TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ronnie Liu dikecam mahu lancar baju ilustrasi Rukun Negara

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 28 Mei – Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew merancang melancarkan baju edisi terhad yang memaparkan ilustrasi lima prinsip Rukun Negara, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, Liu berkongsi reka bentuk baju berwarna putih itu yang diperagakan oleh tiga model terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India sebagai simbol masyarakat majmuk negara ini.

Baju tersebut menampilkan ilustrasi berkaitan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia sejak diperkenalkan pada tahun 1970.

Liu berkata, hak cipta reka bentuk baju berkenaan adalah miliknya dan ia akan dikeluarkan dalam versi kedua edisi terhad.

"Istimewa T-shirt Rukun Negara Versi 2 edisi terhad. Menarik! Hak cipta @RonnieLiu terpelihara," kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Pelek itu sambil menyertakan tanda pagar #RukunNegara.

Dalam hantaran sama, Liu turut meminta cadangan daripada orang ramai mengenai tokoh atau pempengaruh yang sesuai untuk merasmikan pelancaran baju berkenaan.

Pada hantaran berasingan, beliau turut mendapatkan pandangan pengguna media sosial mengenai harga yang dianggap wajar untuk dijual kepada orang ramai.

Bagaimanapun, tindakan Liu itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya mengecam langkah berkenaan dan menyifatkannya seolah-olah mempermainkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menitahkan semua Adun Selangor supaya melawat Dataran Selangor bagi membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara.

Titah itu dikhususkan kepada Liu dan Adun Seri Kembangan, Wong Siew Ki selepas kedua-duanya dilihat mempertikai larangan penternakan babi di Selangor.

Liu kemudiannya dilaporkan melawat Plak Monumen Rukun Negara di Shah Alam kira-kira 24 jam selepas dititahkan berbuat demikian oleh Sultan Selangor pada Selasa lalu.

Untuk rekod, Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong Keempat, Tuanku Ismail Nasiruddin Shah sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia ke-13 susulan Peristiwa 13 Mei 1969 yang menggugat perpaduan kaum di negara ini.

Rukun Negara mengandungi lima prinsip utama yang menjadi panduan dalam memupuk perpaduan, hormat-menghormati serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

+ - reset