TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Penjaja, peniaga berlesen wajib carum Perkeso Januari depan

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 2 Okt - Penjaja dan peniaga berlesen, termasuk pengusaha kios, diwajibkan membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bermula 1 Januari tahun depan.

Menurut Perkeso, caruman bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) itu bertujuan ‘menyediakan sokongan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja’.

"SKSPS yang dikuatkuasakan sejak Jun 2017 berupaya menjadi jaminan kewangan dan kelangsungan kehidupan dengan menyediakan perlindungan keselamatan sosial dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

"Cakna dengan keperluan menyediakan jaringan perlindungan keselamatan sosial, semua penjaja dan peniaga termasuk kios yang menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri dikehendaki mencarum SKSPS, dengan tempoh peralihan diperuntukkan selama empat bulan," katanya. 

Dalam tempoh peralihan tersebut, katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan semua unit kerajaan tempatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan peniaga serta penjaja.

Menurut Perkeso, langkah mandatori ini dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos 2024, berkuat kuasa pada 1 Sept.

Sektor penjaja adalah yang ketiga diwajibkan mencarum dalam SKSPS, selepas sektor perkhidmatan pengangkutan penumpang pada 2017 dan sektor perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan pada 2022. - Media Telus

+ - reset