TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis kenal pasti individu bakar suar dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 2 Julai – Polis telah mengenal pasti individu yang membakar suar dalam Himpunan Rakyat Benci Rasuah 2.0 yang berlangsung di ibu negara pada Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, setakat ini, individu berkenaan belum dipanggil untuk dirakamkan keterangan, namun tindakan lanjut akan diambil.

“Tindakan membakar suar boleh membahayakan orang ramai, khususnya mereka yang mengalami masalah kesihatan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Intelektual Inspirasi Remaja Madani 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau memaklumkan bahawa kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

“Setakat ini, kita telah merekodkan keterangan 19 individu termasuk saksi daripada kalangan anggota polis, pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan wartawan. Beberapa individu lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya.

Mohamed Usuf turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan daripada penganjur himpunan dan memberi jaminan siasatan dilakukan secara profesional dan adil.

Terdahulu, media melaporkan seorang anggota polis cedera ringan dalam satu pergelutan ketika cuba mengawal situasi sewaktu tindakan pencegahan diambil terhadap peserta perhimpunan kira-kira jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, insiden itu berlaku apabila seorang peserta bertindak membakar suar sehingga menyebabkan kepulan asap tebal yang mengancam keselamatan peserta, petugas dan orang awam.

Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 3(5) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – Media Telus

+ - reset